KLUSTER JALAN SULAMAN BERPUNCA DARI PEKERJA PASAR RAYA DI SULAMAN
27 Jan 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Satu kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini, dikenali sebagai Kluster Jalan Sulaman, Kota Kinabalu melibatkan pekerja sebuah pasar raya di Sulaman.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kluster itu mencatatkan pertambahan enam kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 23 kes.
“Kes indeks bagi kluster ini merupakan kakitangan sebuah pasar raya di Sulaman yang dikesan positif hasil ujian saringan individu bergejala.
“Susulan kes tersebut, hasil saringan kontak rapat dan tempat kerja mendapati 21 lagi kes positif Covid-19 dikesan,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, jumlah kapasiti katil di hospital Covid-19 adalah sebanyak 1,084 unit, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam berjumlah 4,322 unit dan jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / penjara pula kekal 1,100 unit.
"Ini menjadikan jumlah kapasiti katil ialah 6,506 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 40.24 peratus," katanya.
Mengenai kapasiti katil untuk pesakit Covid-19 di negeri ini, Masidi berkata, terdapat pengurangan kapasiti sebanyak 298 katil.
“Pada hari ini, satu wad di Hospital Duchess of Kent (HDOK) tidak digunakan menyebabkan kapasiti berkurang sebanyak 28 katil. Ini bermakna, katil yang tidak digunakan itu, kini boleh digunakan untuk pesakit-pesakit biasa.
“Kapasiti di PKRC Taman Sri Sapagaya juga berkurang sebanyak 252 katil dan PKRC Kudat Rest House berkurang sebanyak 18 katil disebabkan sebahagian katil telah diserahkan kepada pihak kesihatan daerah masing-masing untuk dijadikan pusat kuarantin.
“Fasiliti hospital dan PKRC sedia ada di Sabah masih lagi mampu untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19 dengan selesa dan selamat,” katanya.
Comments