Marryan Razan
Kluster Sungai Pin 3 Kinabatangan kluster tempat kerja

24 Ogos 2021 Oleh Marryan Razan KOTA KINABALU: Satu kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini dikenali sebagai Kluster Sungai Pin 3 - Kinabatangan melibatkan kluster tempat kerja di sebuah ladang sawit di Mukim Sukau, Kinabatangan. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kes indeks merupakan pekerja ladang, wanita, 51, yang bergejala sejak 27 Julai 2021, disahkan positif COVID-19 di Klinik Kesihatan Batu Putih, Kinabatangan pada 09 Ogos 2021. “Kes indeks telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut setelah keputusan saringan RTK-AG menunjukkan positif dengan grading 100 peratus. “Aktiviti persampelan terhadap 83 kontak mendapati 55 daripadanya dikesan positif termasuk 52 kes baharu yang dilaporkan hari ini meliputi kontak pekerja dan tanggungan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Masidi berkata, siasatan persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan yang lain.