Komitmen Pendidikan Digital Diperkasa di SK Kebayau Melalui Program PAK21
- nabalunews
- Jul 25, 2025
- 2 min read

25 Julai 2025
KOTA BELUD: Satu inisiatif pendidikan digital berimpak tinggi, Level Up-21 Digital, kini sedang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kebayau, Kota Belud, dengan objektif utama untuk memperkasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) berasaskan teknologi digital dan pendekatan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21).
Program ini turut menerima sokongan padu daripada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, melalui sumbangan yang disampaikan oleh Pemaju Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil kepada wakil sekolah, Muntin Santaim.
Menurut Muntin, pelaksanaan program ini bermula pada 16 Jun 2025 dan akan berlangsung selama 10 minggu sehingga 11 September 2025. Program ini dirangka khusus sebagai pembangunan profesionalisme guru, dengan penekanan terhadap peningkatan kompetensi dalam penggunaan pelbagai aplikasi digital secara efektif dan strategik dalam PdP.
“Program Level Up-21 Digital bertujuan meningkatkan keberkesanan guru dalam mengintegrasikan teknologi digital dan elemen PAK21 ke dalam bilik darjah bagi menjadikan proses pengajaran lebih menarik, kreatif dan memberi impak tinggi kepada murid,” ujar beliau.
Program ini turut memberi penekanan kepada strategi-strategi praktikal penggunaan teknologi pendidikan, serta menyasarkan peningkatan kadar penggunaan kaedah PAK21 dalam kalangan guru. Selain itu, ia bertujuan meningkatkan pencapaian akademik pelajar menerusi pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan relevan dengan keperluan semasa.
Inisiatif ini juga menyokong matlamat transformasi pendidikan digital nasional, khususnya dalam memperkasakan sekolah luar bandar dengan kemudahan dan pengetahuan digital yang setara dengan sekolah bandar. Pelaksanaan berterusan program ini diyakini mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang inklusif serta memupuk budaya inovasi dalam kalangan warga pendidik.
Muntin turut menyampaikan penghargaan atas sumbangan dan perhatian yang diberikan oleh Datuk Ewon Benedick, yang disifatkan sebagai pemimpin prihatin terhadap pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar.
“Dukungan berterusan daripada pemimpin setempat amat penting dalam menjayakan inisiatif pendidikan seperti ini, agar sekolah-sekolah di kawasan pedalaman turut sama bergerak seiring dengan perubahan dan kemajuan sistem pendidikan negara,” katanya.
Dengan kerjasama erat pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat, pihak sekolah serta sokongan kementerian, program ini diharapkan mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti pendidikan secara menyeluruh di daerah Kota Belud dan negeri Sabah.















Comments