Komitmen PM jayakan MA63 melalui agenda Malaysia Madani mesti disokong - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Komitmen PM jayakan MA63 melalui agenda Malaysia Madani mesti disokong - Ewon

19 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick menyatakan komitmen yang dizahirkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim untuk menjayakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui agenda Malaysia Madani mesti disokong semua pihak, khususnya pimpinan dan rakyat di Sabah dan Sarawak.


Menurut Ewon, negara Malaysia akan meraikan ulangtahun penubuhannya yang ke-60 tahun pada tahun ini selepas Perjanjian Malaysia ditandatangani pada tahun 1963.


“Saya meneliti ucapan Perdana Menteri terkait dengan komitmen beliau menjayakan MA1963 dan ianya telah diterjemahkan melalui beberapa keputusan segera Kerajaan Persekutuan sebaik beliau mengambil alih teraju kepimpinan negara. Hari ini beliau sekali lagi menzahirkan komitmen.


“Ini sangat penting kepada rakyat Sabah dan Sarawak kerana kita akan menyambut ulangtahun penubuhan negara Malaysia yang ke-60 pada tahun ini.


“Malah sebaik sahaja melancarkan agenda Malaysia Madani ini, beliau berlepas ke Sarawak untuk mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Khas Sabah Sarawak. Maka nyata sekali komitmen dan kepimpinan Dato Seri Anwar sebagai Perdana Menteri mesti disokong,” katanya.


Ewon turut menyambut baik penggumuman Anwar menjadikan Malaysia Madani sebagai kerangka dasar baharu Kerajaan Perpaduan Persekutuan.


“Perdana Menteri menyatakan kepentingan tata kelola yang cemerlang dan pembasmian ketirisan dengan menolak rasuah sebagai asas utama agenda Malaysia Madani. Saya bersetuju bahawa inilah asas yang boleh mencipta lonjakan baharu kepada negara supaya disegani oleh masyarakat dunia.


“Saya turut mengambil amanat dan wawasan beliau ini menjadi pegangan dan panduan kami di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia. Kami akan mendukung dan melaksanakan sepenuhnya agenda Malaysia Madani ini,” katanya.


Konsep Madani yang dibawa Kerajaan Perpaduan dirangka sebagai usaha untuk memetakan strategi mentadbir negara dengan lebih berkesan. Istilah “Madani” merujuk kepada tata kelola atau tadbir urus yang adil dan berkesan bagi memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi, kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar.

bottom of page