Komuniti Kg Melangkap Tiong dan Kg Piso bergotong-royong siapkan tadahan baru paip graviti
nabalunews

5 Oktober 2024
KOTA BELUD: Komuniti Kampung Melangkap Tiong dan Kampung Piso di sini hari ini sepakat melaksanakan program gotong-royong bagi menyiapkan tadahan baru paip graviti, yang telah lama dinantikan oleh penduduk setempat.
Tadahan baru paip graviti ini dijangka memberi manfaat besar kepada kira-kira 200 penduduk kampung, sekali gus menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang dihadapi mereka selama ini.
Penduduk Kampung Melangkap Tiong dan Kampung Piso mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Hopes Malaysia atas sumbangan bahan-bahan material seperti paip yang mempermudahkan usaha ini.
Bantuan tersebut amat dihargai oleh penduduk kampung dan menjadi titik penting dalam memastikan projek ini dapat dijalankan dengan lancar.
Program gotong-royong hari ini disertai lebih daripada 40 penduduk dari Kampung Piso dan Melangkap Tiong.
Kehadiran dan komitmen mereka untuk berganding bahu menyiapkan tadahan baru paip graviti ini jelas mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam komuniti.
Penduduk 2 kampung berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada Pemaju Mukim, Anichlose Kesimin yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick serta Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian.
Sumbangan beliau dalam mempermudahkan urusan dengan pihak NGO melalui Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM)
dan ADUN N11 Kadamaian, serta sokongan beliau dalam menghubungkan kampung-kampung lain di DUN Kadamaian dengan badan-badan NGO, amat dihargai.
Usaha ini bukan sahaja membantu Kampung Melangkap Tiong, tetapi juga memberi peluang kepada kampung-kampung lain untuk mendapatkan bantuan bagi projek-projek pembangunan komuniti.
Projek tadahan baru ini melibatkan pemasangan paip induk dengan spesifikasi saiz paip, 2 inci menggunakan 48 gulung paip.
Jarak dari pusat tadahan paip graviti
ke Kampung Melangkap Tiong adalah hampir 5 kilometer.
Semoga tadahan paip graviti baru ini akan meningkatkan kualiti hidup penduduk dengan bekalan air bersih yang lebih stabil dan mencukupi, sekali gus memperkukuhkan kesejahteraan komuniti setempat.
Comments