KOMUNITI MARITIM DIMINTA LAPOR AKTIVITI MENCURIGAKAN KEPADA ESSCOM
- Wartawan Nabalu News
- Nov 7, 2020
- 1 min read

7 Nov 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Penduduk khususnya komuniti maritim di kawasan pesisir pantai diminta terus menjadi 'mata dan telinga' pasukan keselamatan dengan melaporkan aktiviti mencurigakan atau melanggar undang-undang negara.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kerjasama itu penting bagi mengekang penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
"Komuniti maritim juga diingatkan supaya tidak sekali-kali bersubahat atau bersekongkol dengan tekong-tekong laut dan penyeludup yang cuba melanggar undang-undang negara termasuk menyeludup rokok,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Ahmad Fuad berkata, tindakan tegas akan diambil jika didapati ada dalam kalangan komuniti yang bersubahat dan melindungi penyeludup termasuk bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut.
Beliau berkata, penduduk boleh melaporkan kepada Esscom jika terdapat aktiviti mencurigakan di kawasan mereka dengan menghubungi talian 089-863181 ataupun balai-balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.
Katanya lagi, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi penguatkuasa dalam OCP Laut dan Daratan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan sentiasa memperkemas rondaan dan memperketatkan penguatkuasaan serta kawalan keselamatan di sempadan perairan laut dan daratan di daerah ini bagi mengekang kemasukan PATI dan aktiviti penyeludupan rokok serta barangan terkawal dan bersubsidi lain daripada cuba diseludup ke negara jiran.















Comments