top of page

Kongres Nasional Momogun (MNC) anjur referendum dan sambutan Orang Asal

Wartawan Nabalu News

16 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kongres Nasional Momogun (MNC) akan menganjurkan satu referendum kebangsaan pada 3 Ogos untuk menyelesaikan perdebatan yang berlarutan mengenai penggunaan istilah ‘Momogun’ sebagai istilah umum untuk orang asli di Sabah.


“Ini adalah masa yang sesuai untuk kita selesaikan isu ini,” kata Presiden MNC, Tan Sri Wences Angang pada sidang media, di sini, kelamarin.


Beliau optimis majoriti komuniti etnik di negeri ini akan menyokong penggunaan ‘Momogun’ sebagai istilah yang tepat untuk perkenalkan diri mereka.


Beliau berkata sebelum referendum kebangsaan tersebut, MNC akan berhubung dengan semua pemimpin persatuan etnik terutamanya kumpulan bahasa Dusun, Murut, dan Paitan untuk memberi penerangan tentang tujuan acara tersebut.


“Semasa konvensyen kami pada tahun 2016, 21 persatuan etnik telah menyatakan sokongan mereka. Hari ini, terdapat lebih banyak persatuan etnik yang ingin bersama kami. Jadi, kami akan berhubung dengan mereka dan menerangkan apa itu ‘Momogun’,” katanya.


Referendum kebangsaan itu akan diadakan di Dewan Kebudayaan Penampang dengan kerjasama Lembaga Kebudayaan Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.


Perdebatan mengenai penggunaan istilah ‘Momogun’ untuk orang asal Sabah mendapat perhatian semula selepas Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick mencadangkan penggunaan "Momogun" dalam borang rasmi.


Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mencadangkan istilah “Dayak” sebagai alternatif.


Sementara itu, Wences juga mengumumkan bahawa MNC akan menganjurkan sambutan Hari Orang Asal Sedunia di Kadamaian pada 8-9 Ogos ini.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page