top of page
  • nabalunews

KONTRAKTOR DIMINTA PERCEPAT NAIK TARAF JALAN UMS KE INDAH PERMAI - BUNG MOKTAR


Datuk Bung Moktar

5 Feb 2021


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta kontraktor mempercepat kerja naik taraf jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke Indah Permai di sini bagi memberi keselesaan kepada pengguna yang berhadapan kesesakan terutamanya pada waktu puncak.


Bung Moktar, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata kini projek berkenaan pada masa ini baharu mencapai 55 peratus siap iaitu lima peratus lewat daripada jadual sasaran.


“Kita faham Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara sebab kelewatan. Bagaimanapun, kita berharap kontraktor terlibat mempercepatkan kerja pembinaan semasa PKP ini, “ katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.


Projek berkenaan melibatkan naik taraf jalan daripada empat lorong kepada enam lorong termasuk pembinaan empat persimpangan bertingkat dan dilaporkan projek bernilai RM357 juta itu dijangka siap pada Januari 2022.


Sementara itu, mengulas mengenai gangguan air di Sepanggar di sini, katanya, gangguan itu disebabkan kes kecurian air di mana terdapat banyak saluran air paip dibuat secara haram menyebabkan tekanan air menjadi rendah selain menjejaskan pengguna terutamanya di kawasan tinggi.


"Saya minta Jabatan Air Sabah bersama agensi lain yang terlibat memantau keadaan ini serta mengambil tindakan proaktif bagi memotong paip air disambung secara haram," katanya. - Bernama

Comments


bottom of page