top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kontraktor tidak mengaku salah guna dokumen palsu


30 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Seorang pemilik syarikat berdepan enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini atas dakwaan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan tawaran sebut harga bagi kerja baik pulih dan penyelenggaraan melibatkan dua sekolah di Tawau, empat tahun lalu.


Jumadil Iggoh, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan tersebut yang dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jason Juga.


Tertuduh berdepan tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu penyata akaun Bank Islam Lima Construction, bertarikh 13 Oktober 2020, masing-masing bagi bulan Jun, Julai dan Ogos 2020 yang dilakukannya di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau pada 14 Ogos 2020.


Dokumen palsu tersebut digunakan untuk tujuan menipu bagi mendapatkan sebutharga kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan bangunan SMK Kinabutan II, di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PPE) Prihatin Tahun 2020.


Tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan menggunakan dokumen palsu tersebut yang bertarikh 13 Julai 2020, masing-masing bagi bulan April, Mei dan Jun 2020 di PPD Tawau pada 14 Julai 2020.


Dokumen palsu itu bertujuan menipu bagi mendapatkan tawaran sebut harga baik kerja-kerja pembaikan/penyelenggaraan kuarters dan rumah guru SK Andrassy.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 kanun keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pada prosiding kes itu hari ini, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rekraj Singh mencadangkan wang jaminan RM50,000 dikenakan terhadap tertuduh serta beberapa syarat tambahan lain.


Manakala, peguam Abdul Ghani Zelika yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah memberikan wang jaminan rendah terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh tidak bekerja dan perlu menanggung isteri dan seorang anak.


Mahkamah kemudiannya menawarkan wang jaminan RM10, 000 dan deposit RM3,000 bersama seorang penjamin tempatan dan membenarkan syarat-syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan tarikh 26 September depan untuk sebutan semula kes.

Comentários


bottom of page