KOSAN Perlu Dirombak
- nabalunews
- Mar 27
- 2 min read

27 Mac 2025
KOTA KINABALU: Koperasi Serbaguna SANYA Berhad (KOSAN) akan diberi peluang penyambungan kontrak untuk terus membekalkan produk pakaian dan kasut kepada kerajaan.
Bagaimanapun, badan berkenaan digesa supaya membuat rombakan pengurusan koperasi bagi membuktikan kemampuan untuk menampung kontrak Kerajaan.
Pengerusi KOSAN Datuk Ellron Angin berkata, koperasi berkenaan sebelum ini merupakan pembekal kerajaan negeri untuk produk pakaian seragam dan kasut sekolah.
Katanya, semua pakaian sekolah dan kasut berkenaan akan disumbangkan secara percuma kepada murid semua sekolah di negeri ini.
“KOSAN masih mempunyai kontrak bersama Kerajaan negeri sehingga hujung tahun ini selepas ianya disambung pada tahun lalu.
"Kita simpati dengan keadaan pekerja seramai 230 orang melibatkan kilang perusahaan pakaian Tuaran dan kilang kasut Papar milik KOSAN yang hilang pekerjaan ekoran pemberhentian operasi dua kilang berkenaan.
“Ia disebabkan ketiadaan pembeli produk keluaran syarikat sejak hujung tahun lalu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pekerja kilang milik KOSAN melibatkan 230 pekerja yang hilang pekerjaan ekoran pemberhentian operasi dua kilang di Tuaran dan Papar.
Mereka adalah 134 pekerja kilang pakaian Tuaran dan 69 pekerja kilang kasut Papar serta kakitangan ibu pejabat KOSAN ditamatkan perkhidmatan menerusi surat dihantar kepada setiap pekerja pada 14 Oktober tahun lalu.
Untuk rekod, KOSAN mempunyai kontrak dibawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) sebelum ini membekalkan produk pakaian dan kasut sekolah kepada 287,777 murid seluruh Sabah.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Tetap KPMKR, Henry Idol.
Menurutnya, perkara berkenaan sudah dibawa dalam Jemaah Menteri dan bersetuju untuk memberi peluang kepada KOSAN.
“Bagaimanapun, mereka perlu merombak dan memperbaiki syarikat dibawah koperasi bagi membuktikan mereka boleh menampung kontrak seperti sebelum ini, mungkin kita akan pertimbangkan lagi.
"Jadi kita minta supaya rombakan ini akan dapat dibuat dengan lebih cepat dan mungkin kita akan memikirkan memberi peluang lagi. Tapi setakat ini seperti yang dalam perjanjian, difahamkan ia akan tamat pada tahun ini saja," katanya.
Sementara itu, Henry berkata, KOSAN boleh menyertai tender terbuka sekiranya kontrak yang ada pada masa ini tamat pada hujung tahun ini.
"Untuk kontrak yang sekarang ini kita ada dua tahun dengan KOSAN, tetapi untuk setiap kontrak, Kerajaan tetap akan buat tender terbuka, jadi dalam tempoh itu, KOSAN boleh menyertai," katanya.
Comentários