Kota Belud berpotensi untuk pembangunan industri seperti F&B dan hab digital
- nabalunews
- Mar 9
- 2 min read

9 Mac 2025
KOTA BELUD: Kota Belud memiliki potensi luas untuk membangunkan pelbagai industri seperti F&B dan hab digital yang boleh merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan ini.
"Ini seterusnya akan membuka peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran, serta menarik pihak swasta dan pelabur untuk membantu menyediakan pembangunan di daerah ini, kata Pengarah Eksekutuf Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), Datuk Dexter Lau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengetuai Jelajah Iftar 2025 Kedua anjuran KTC dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah di Kota Belud, kelmarin.
Program ini turut melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, Usukan, dan Kadamaian, bertujuan untuk menyantuni golongan yang memerlukan.
Jelajah Iftar 2025 pertama telah diadakan di Kudat dua hari lepas.
Datuk Dexter juga berkongsi pengalaman mengenai "social entrepreneurship" yang beliau pelajari di Amerika Syarikat baru-baru ini. Beliau memuji penduduk Kota Belud yang rajin, serta sentiasa bersemangat untuk belajar dan dilatih.
Sementara itu, Pembantu Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz yang turut hadir di majlis itu meluahkan kegembiraannya dalam mengadakan perbincangan dengan Dexter mengenai pembangunan di Pintasan, serta peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan.
Majlis Iftar yang berlangsung di Dewan Datuk Fairuz Renddan menyaksikan pengagihan juadah iftar kepada golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, anak yatim piatu, serta golongan B40 di Kota Belud. Lebih 500 orang hadir ke majlis berbuka puasa pada sebelah petang.
Sebelum itu pada sebelah pagi, Jelajah Iftar 2025 KTC dan UPPM Sabah telah meraikan seramai 50 kanak-kanak dari Kota Belud dibawa membeli pakaian raya di Golden Dragon City, Kota Belud, sebagai persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Melalui Program Shopping Raya itu setiap kanak-kanak menerima RM200 untuk membeli baju dan kasut raya.
Program ini bertujuan untuk meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan serta memberi kegembiraan kepada kanak-kanak menjelang perayaan Aidilfitri.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha KTC dan UPPM Sabah untuk membantu golongan kurang berkemampuan di 25 kawasan Parlimen di seluruh Sabah.
Sementara itu, KTC dalam kenyataannya berbangga dengan kepimpinan Dexter, seorang graduan dari Wharton Business School, sebuah institusi perniagaan terkemuka dunia. Kejayaan beliau memperoleh kelayakan berprestij ini bukan sahaja membuktikan kecemerlangan akademik dan kepimpinan beliau, tetapi juga mengangkat nama Malaysia Timur di persada antarabangsa dalam kalangan pemimpin korporat elit.
Jelajah Iftar 2025 di Kota Belud turut dihadiri Pengarah UPPM Sabah, Datuk Haji Awang Kadin; Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton; OCPD Kota Belud, Supt Shahrudin Mat Husain; pemimpin masyarakat; pegawai kerajaan tempatan; eksekutif KTC dan wakil pejabat UPPM.
Comments