KPDN Rampas 16,180 Liter Diesel
- nabalunews
- Aug 8, 2025
- 1 min read

8 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya merampas 16,180 liter minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Bunga Raya, Kepayan, di sini semalam.
Dalam operasi jam 10.30 pagi, semua bahan bakar yang dianggarkan bernilai RM34,650 termasuk sebuah Toyota Land Cruiser dan peralatan berkenaan dipercayai cuba diseleweng.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sabah, Peter J Berinus Agang berkata, operasi dilaksanakan menerusi Ops Tiris hasil risikan selama dua minggu dan maklumat awam berhubung kegiatan penyelewengan di lokasi berkenaan.

Katanya, sebaik diserbu, seorang lelaki tempatan berusia 20-an yang berada di lokasi terus ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan lanjut, premis berkenaan didapati tidak memiliki lesen atau kebenaran menyimpan barang kawalan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki barang kawalan tanpa kebenaran pengawal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes turut dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Sehubungan itu, Peter menegaskan, KPDN Sabah akan meneruskan pemantauan bagi membanteras ketirisan petrol RON95 dan diesel bersubsidi di seluruh negeri.
Katanya, orang ramai digesa agar menyalurkan maklumat melalui talian 019-2794317 / 019-8488000, portal eaduan.kpdn.gov.my, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.















Comments