top of page

KPDNHEP AMBIL TINDAKAN TERHADAP 105 PENIAGA DI TAWAU

  • nabalunews
  • Nov 11, 2020
  • 1 min read

Gambar Hiasan

11 Nov 2020

TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan terhadap 105 peniaga di Tawau atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh 10 bulan ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Tawau Aslani Dabi berkata peniaga terbabit didapati gagal mematuhi undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan.

"Tindakan kes ini melibatkan nilai rampasan berjumlah RM151,676.85 dan nilai kompaun RM34,800," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Kes yang dihasilkan pada tahun ini mencatat penurunan sebanyak 57 peratus berbanding 2019 berikutan pengurangan operasi beberapa sektor ekonomi susulan pandemik COVID-19," katanya.

Aslani berkata dalam tempoh sama, KPDNHEP Tawau menerima 151 aduan daripada pengguna dengan 140 telah selesai manakala 11 lagi masih dalam siasatan.

"Sebanyak 6,998 premis perniagaan diperiksa dengan 4,881 pemeriksaan di kawasan bandar dan 2,117 di luar bandar.

“Daripada jumlah keseluruhan pemeriksaan itu, sebanyak 5,108 melibatkan pemeriksaan khas di bawah Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac sehingga kini," katanya.

Beliau juga berkata seramai 23 penguat kuasa KPDNHEP Tawau melakukan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2020 dan dalam tempoh dua hari, sebanyak 47 pemeriksaan dijalankan ke atas pemborong serta peruncit. – Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page