top of page

KPKM rancang program baharu, tambah baik inisiatif sedia ada tingkat hasil pertanian

Wartawan Nabalu News

19 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementerianya akan melaksanakan program baharu dan menambah baik inisiatif sedia ada bagi meningkatkan hasil pertanian negara, khususnya tanaman padi.


Jelas beliau, program baharu itu termasuk penggunaan teknologi terkini dan penerokaan kawasan penanaman baharu yang akan dilaksana menerusi peruntukan Belanjawan 2024.


"Bolehlah kita rancang program baharu dan tambah baik (program) sedia ada supaya ia lebih efisien dan baik terutama dari sudut produk yang diusahakan dalam keluasan (tanah) sama. Kita nak tambah hasil produk ini perlu kepada teknologi baharu, (cara) pembajaan yang baharu," katanya dalam program Ruang Bicara: 'Keterjaminan Makanan Terus Diperkukuh' terbitan Bernama TV.


Beliau juga berkata pihaknya akan mendapatkan pandangan pakar pertanian seperti pensyarah universiti, ujian kandungan dan kesesuaian tanah, bagi meningkatkan hasil tanaman dengan keluasan tanah yang sama di samping meneroka kawasan baharu yang perlu diusahakan macam padi, sayuran dan tanaman lain yang diperlukan.


"Pandangan (pakar pertanian seperti) pensyarah universiti, ujian kandungan dan kesesuaian tanah, semua ini (juga) kena dibuat untuk meningkatkan hasil (tanaman) dengan keluasan tanah yang sama di samping meneroka kawasan baharu yang perlu diusahakan macam padi, sayuran dan tanaman lain yang diperlukan," katanya.


Menerusi Belanjawan 2024, KPKM diperuntuk RM6.17 bilion iaitu peningkatan sebanyak 14.4 peratus berbanding RM5.39 dalam Belanjawan 2023.


Mengenai pengapungan harga ayam dan telur di pasaran, Mohamad berkata KPKM bersama beberapa kementerian sedang membincangkan langkah pelaksanaan terbaik mengenai hal itu.


"Secara umumnya, (harga) telur dan ayam stabil dapat ditampung dengan cepat... bila ada kestabilan maka (kita) akan bincang bagaimana nak laksanakan pengapungan... perbincangan kita minggu ini (adalah) untuk cari penyelesaian terbaik dan mengurangkan bebanan kepada mana-mana pihak, itu tujuan kita," katanya.


Beliau berkata langkah kerajaan melakukan pengapungan harga ayam dan telur antara lain ialah bagi memastikan manfaat subsidi sebelum ini hanya dinikmati rakyat yang berhak bukannya warga asing dan golongan kaya.


Beliau berkata ini kerana sejak 2022, kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion bagi menampung kos ayam dan telur.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page