KPLB SABAH DAPATKAN PANDANGAN PEJABAT PEGUAM MENGENAI ORDINAN PENTADBIRAN LUAR BANDAR
- Wartawan Nabalu News
- Dec 22, 2020
- 2 min read

22 DIS 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan mendapatkan pandangan daripada Pejabat Peguam Besar Negeri dan kementerian-kementerian kerajaan negeri berkenaan cadangan menguatkuasakan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar.
Menterinya Datuk Jahid Jahim menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick yang mencadangkan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar dikuatkuasakan semula bagi mengekalkan nama institusi pentadbiran kampung tanpa mengikut perubahan dasar Kerajaan Persekutuan.
Mengenai cadangan kedua Adun Kadamaian agar kerajaan negeri mengambil alih urus tadbir sistem e-Kasih, Jahid berkata kementeriannya juga mengambil maklum cadangan itu.
“Sistem dan pengurusan daftar e-Kasih adalah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM). Kementerian saya mengambil maklum cadangan yang baik ini dan akan mengangkat perkara ini ke pihak berwajib di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.
Mengenai cadangan ketiga Adun Kadamaian berkaitan penggunaan peruntukan RM30 juta yang telah disalurkan bagi tujuan pembayaran elaun, Jahid berkata, peruntukan berkenaan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain selain daripada pembayaran elaun JPKK dan pengurusan mesyuarat.
Tambahan pula katanya, peruntukan itu akan luput dalam tahun semasa.
Menjawab isu yang dibangkitkan Adun dilantik Datuk Amisah Yassin yang mencadangkan agar kerajaan memberi kelonggaran kepada golongan ibu tunggal mendapat pelbagai bantuan yang ditawarkan kepada golongan e-Kasih seperti perumahan PPRT, Jahid berkata:
“Golongan ibu tunggal layak dipertimbangkan untuk mendapat bantuan itu tertakluk kepada pengesahan Jawatankuasa Focus Group Daerah,” katanya.
Mengenai cadangan menambah bilangan PPRT di Sabah, Jahid berkata, Program PPRT merupakan salah satu Program Pembasmian Kemiskinan melalui pembiayaan Kerajaan Persekutuan.
“Cadangan tambahan bilangan PPRT bagi setiap kawasan atau daerah adalah berdasarkan jumlah peruntukan yang disalurkan ke KPLB Sabah setiap tahun," katanya.
Menjawab cadangan Adun Inanam mengenai senarai penerima bantuan PPRT, Jahid berkata, kriteria pemilihan penerima PPRT adalah di kalangan yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.
“Kementerian ini mempertimbangkan semua senarai cadangan penerima yang dikemukakan oleh Pejabat Daerah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Perbandaran atas keyakinan bahawa senarai itu telah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Focus Group Daerah,” katanya.
Mengenai isu yang dibangkitkan Adun Kuamut mengenai pembayaran dividen bagi Ladang PPRT Tongod, Jahid berkata, pembayaran dividen kepada 774 orang benifisiari ladang PPRT Tongod telah dilunaskan sehingga suku kedua bulan Jun 2017 sahaja.
“Selepas tempoh tersebut, tiada caruman untuk pembayaran dividen daripada syarikat Tongod Plantation Sdn Bhd atas sebab syarikat tersebut mengalami kerugian berikutan kejatuhan harga pasaran buah tandan segar kelapa sawit.
“Bagaimanapun, difahamkan bahawa pada tahun 2019 prestasi kewangan syarikat Tongod Plantation Sdn Bhd menunjukkan keuntungan dan boleh mencarum kepada kerajaan untuk pembayaran dividen.
“Setelah Ahli Lembaga Pengarah syarikat dilantik dalam masa yang terdekat kelak, syarikat akan menentukan kuantum bagi tujuan caruman untuk pembayaran dividen kepada benefisiari Ladang PPRT Tongod.
“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pembayaran dividen bagi ladang PPRT Tongod yang melibatkan 774 orang benifisiari bermula Januari 2010 hingga Jun 2017 yang dibayar tiga bulan sekali atau sekali dalam suku tahun. Untuk itu, RM27,864,000 pada kadar dividen RM400/orang/bulan,” katanya.















Comments