KPLB hanya terima 400 unit PPRT untuk diagihkan di seluruh Sabah, tahun ini

7 Disember 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) hanya menerima sebanyak 400 unit Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tahun ini untuk diagih-agihkan kepada para penerima yang layak di seluruh Sabah.
Menterinya Datuk Jahid Jahim berkata, jumlah keperluan PPRT secara purata setiap tahun adalah sebanyak 4,500 unit.
“Untuk tahun ini, agihan PPRT yang diterima oleh kementerian saya hanyalah 400 unit sahaja.
“Sebenarnya, jumlah agihan PPRT yang telah diperuntukkan selama ini jauh masih kurang daripada keperluan sebenar. Kementerian saya sedia maklum dengan keperluan untuk menambah kuota PPRT,” katanya pada sesi soal jawab, persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Anwar Ayuub (Liawan) mengenai tindakan kerajaan membantu dan menambah kuota PPRT yang diberikan bagi tujuan ini di DUN Liawan.
Sehubungan itu Jahid berkata, kementeriannya telah mengambil usaha-usaha menambah kuota PPRT di Sabah termasuk DUN Liawan.
“Antaranya mengemukakan surat makluman kepada pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan (KPLBP) ekoran daripada keputusan Jemaah Menteri Sabah.
“Susulan daripada keputusan Jemaah Menteri Sabah juga bahawa, Kementerian saya telah bekerjasama dengan pejabat-pejabat daerah untuk membuat unjuran keperluan pembinaan rumah PPRT bagi tempoh lima tahun dan surat berkaitan perkara ini juga telah dikemukakan kepada pihak KPLBP,” katanya.
Jahid berkata, usaha dan tekad untuk menambah kuota PPRT juga telah dibuat melalui lawatan kunjungan hormatnya kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan.
“Saya telah membawa isu berkenaan penambahan kuota PPRT untuk perhatian beliau. Sekali lagi, cadangan untuk menambah kuota PPRT juga dibangkitkan semasa Menteri KPLBP membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah yang mana saya juga turut hadir,” katanya.
Comments