top of page
  • Wartawan Nabalu News

KPM benarkan murid sekolah rendah buat ujian saringan Covid-19 di rumah



12 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan murid sekolah rendah untuk melakukan ujian saringan kendiri Covid-19 di rumah bermula minggu ini.


Menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, pihak sekolah sendiri akan mengenal pasti siapakah murid yang terlibat dan kit ujian kendiri beserta Slip Pengesahan Pelaksanaan Ujian Kendiri Covid-19 akan diedarkan kepada murid terbabit.


“Pelaksanaan ujian saringan bergilir Covid-19 bagi murid sekolah rendah di bawah Strategi Pengujian COvid-19 Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dilaksanakan secara kendiri oleh murid di rumah dengan bimbingan ibu bapa.


“Slip pengesahan akan diedarkan pada 12 Januari (Rabu) dan murid terpilih perlu mengemukakan keputusan ujian saringan kepada pihak sekolah pada 13 Januari (Khamis),” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.


Tambahnya, murid yang keputusan ujiannya negatif dibenarkan hadir ke sekolah manakala bagi murid yang positif pula ibu bapa atau penjaga hendaklah membawa anak mereka ke fasiliti kesihatan untuk tindakan lanjut dan memaklumkan kepada pihak sekolah.


Namun, jika keputusan ujian tidak sah (invalid), ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan kepada pihak sekolah dan murid akan menjalani semula ujian saringan apabila hadir ke sekolah.


Beliau berkata, berdasarkan Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan KKM sebelum ini, 10 peratus murid sekolah rendah dipilih secara rawak setiap minggu untuk menjalani ujian kendiri Covid-19 yang dilaksanakan di sekolah mulai 1 Disember lepas.

Comentarios


bottom of page