KPM beri jaminan harga makanan kantin sekolah tidak akan naik
- Wartawan Nabalu News
- Mar 16, 2023
- 1 min read

16 Mac 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan jaminan bahawa tidak akan berlaku kenaikan harga makanan di kantin sekolah seperti yang dibimbangi oleh beberapa pihak, kata menterinya Fadhlina Sidek.
Jelas Fadhlina, harga makanan di kantin sekolah ditetapkan berdasarkan garis panduan dan perjanjian antara pengusaha dan pihak sekolah.
Tambah beliau, pihak KPM akan mengambil kira cadangan untuk menstandardkan harga makanan dan minuman di kantin sekolah mengikut lokaliti.
"Sebenarnya isu kenaikan harga di kantin sekolah tidak timbul kerana harga makanan ditetapkan berdasarkan perjanjian dan garis panduan antara pihak kantin dan sekolah.
"Jika ada isu sebegini, mereka boleh merujuk terma-terma perjanjian tersebut dan kita akan memberi perhatian pada isu kos, tetapi ia perlu mengikut garis panduan dan berbincang dengan pihak sekolah.
"Walaupun terma-terma perjanjian sudah ditetapkan antara pihak kantin dan pihak sekolah... tetap ada ruang untuk berbincang," jelasnya.
Sementara itu, Fadhlina juga memberikan jaminan bahawa peruntukan perbelanjaan untuk penyelenggaraan sekolah pada tahun ini tidak akan dikurangkan.
Beliau menyatakan, walaupun peruntukan untuk KPM melalui Belanjawan 2023 belum diluluskan oleh jawatankuasa, keperluan sekolah, terutamanya sekolah yang memerlukan, tetap menjadi keutamaan.
“Peruntukan perbelanjaan tidak akan dikurangkan, tetapi kita akan mempertimbangkan keperluan sekolah dari semasa ke semasa, terutamanya sekolah yang memerlukan,” jelas beliau.















Comments