- Wartawan Nabalu News
KPM cari penyelesaian kekurangan guru empat mata pelajaran
20 Mac 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BHARU : Empat mata pelajaran iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, pendidikan Islam dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) menghadapi kekurangan guru di Malaysia.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini.
Ketua Pengarah KPM Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, beberapa kaedah pengambilan guru telah dicadangkan dan dibincangkan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran.
“Dalam masa terdekat ini kita akan laksanakan proses pengambilan dan memberi tawaran kepada guru-guru yang layak secara berperingkat. Kita akan tangani masalah kekurangan guru secara berperingkat.
“Isu ini memerlukan masa untuk diselesaikan, tidak boleh segera. Mungkin dalam satu atau dua tahun lagi situasi akan pulih,” katanya pada sidang media selepas melawat sekolah pada minggu pertama persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa.
Pkharuddin juga memberitahu, KPM telah berbincang dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk meningkatkan bilangan pelajar dalam empat bidang tersebut.
Selain itu Pkharuddin berkata, sistem pendidikan negara ini perlu berlangsung selama 190 hari seperti yang ditetapkan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Katanya, KPM faham keinginan ibu bapa dan sebahagian guru yang mahu pembelajaran bermula pada Januari kerana beberapa faktor.
“Kita rasa kedua-dua cara ada kebaikannya. Jika penggal persekolahan bermula pada bulan Mac, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan bertembung dengan musim Monsun Timur Laut dan tempoh menanti untuk masuk institusi pengajian tinggi lebih pendek.
“Bagaimanapun KPM tetap berusaha melihat ruang dan peluang agar tempoh penggal persekolahan diawalkan sedikit yang mana ia mungkin akan mengambil sedikit masa dan ruang. Kalau kita nak awalkan lagi mungkin perlu korbankan cuti sedangkan cuti juga penting bagi memberi ruang rehat kepada pelajar, ibu bapa dan guru. Jadi kita tidak boleh meniadakan cuti. Cuma mungkin masa cuti dipendekkan sedikit,” katanya.
Comments