- Wartawan Nabalu News
KPM DIMINTA PERINCIKAN KRITERIA PEMBERIAN LAPTOP PERCUMA
15 Feb 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta memperincikan kriteria pemberiaan laptop percuma kepada pelajar dari keluarga B40.
Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Konvent St.Cecilia Sandakan Dr. Peter Naintin berkata, ini kerana ramai guru, ibubapa mahupun pelajar masih tertanya-tanya tentang syarat untuk mendapatkan kemudahan laptop percuma itu.
“Saya telah menghubungi Yayasan Hasanah untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai laptop bagi pihak sekolah dan pelajar SMK Konvent St.Cecilia dan menurut Yayasan Hasanah, KPM yang memilih sekolah dan pelajar, bagaimanapun tidak perlu membuat sebarang permohonan.
“Kami tidak tahu sama ada sekolah kami disenaraikan sebagai penerima bantuan itu atau sebaliknya sebab belum mendapat apa-apa makluman.
"Saya juga bertanya sama ada pemberian komputer itu disertakan dengan jalur lebar dan Yayasan Hasanah mengatakan mereka akan bekerjasama dengan syarikat pengendali telco untuk menyediakan rangkaian internet," katanya ketika dihubungi Nabalu News, di sini, hari ini.
Dr. Peter berkata, SMK Konvent St.Cecilia Sandakan mempunyai 933 pelajar dan daripada jumlah itu 802 adalah pelajar keluarga B40.
Beliau juga ingin tahu apakah kriteria pemilihan sekolah untuk melayakkan sekolah berkenaan dipilih mendapat laptop percuma.
"Kita tidak tahu berapa sekolah dan pelajar dari keluarga B40 di Sabah yang akan menerima laptop percuma itu.
"Saya berharap ada ketelusan dan keadilan dalam pemilihan sekolah dan tidak mengetepikan sekolah-sekolah mission kerana mereka juga memerlukan bantuan laptop bagi memudahkan pembelajaran secara online," katanya.
Dr. Peter berkata, ramai pelajar di Sabah dari keluarga B40 dan tidak mempunyai laptop atau telefon bimbit untuk belajar online.
"Di Sandakan sahaja terdapat 88 buah sekolah rendah dan sekolah menengah yang kebanyakannya pelajar dari keluarga B40.
"Selain masalah telefon bimbit atau laptop, banyak kawasan di Sabah terutamanya di kawasan luar bandar tidak mempunyai rangkaian internet," katanya.
Pada 6 Nov 2020, seramai 150,000 murid dari 500 buah sekolah rintis di seluruh negara dilaporkan akan menerima komputer riba secara percuma bagi memudahkan pembelajaran dalam talian di rumah.
Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipetik sebagai berkata, pemberian 150,000 komputer riba oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dipercepatkan bagi memastikan anak-anak dari keluarga B40 dapat meneruskan pelajaran secara dalam talian walaupun dari rumah.
KPM bekerjasama rapat dengan Yayasan Hasanah untuk mempercepatkan penyampaian komputer riba oleh GLC dan GLIC bermula Februari ini.
Bình luận