- Wartawan Nabalu News
KPM proaktif atasi lambakan graduan pendidikan
9 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah proaktif untuk menangani isu lambakan graduan dan siswazah dalam bidang pendidikan yang belum mendapat penempatan sebagai guru.
Ini termasuk mengadakan perbincangan dan perkongsian data dengan pihak-pihak yang berkaitan seperti Kementerian Pendidikan Tinggi, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pihaknya juga sedang membuat unjuran yang lebih terancang untuk menampung keperluan guru di sekolah-sekolah di seluruh negara.
Beliau berkata, perbincangan itu bukan sahaja melalui surat, tetapi juga secara progresif dan berterusan.
"Yang boleh saya kongsikan adalah bagaimana kita nak membuat tindakan yang lebih proaktif iaitu, satu perkongsian data, yang kedua unjuran lebih terancang sebab kita di KPM menguruskan graduan IPG.
“Selain itu Kementerian Pendidikan Tinggi juga mempunyai fakulti pendidikan yang lain jadi unjuran dan perkongsian data ini penting, jadi boleh saya maklumkan sangat progresif," katanya.
Beliau turut menyatakan, UPSI sedang bekerjasama dengan KPM untuk memberi sokongan dan bantuan kepada graduan pendidikan agar dapat ditempatkan sebagai guru tanpa sebarang masalah.
Sementara itu, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, KPM juga komited untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini dengan mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar.
"Jurang luar bandar dan bandar semakin mengecil menunjukkan anak-anak luar bandar semakin baik prestasi. Pelajar bandar meningkat manakala luar bandar lagi lebih meningkat menandakan anak luar bandar mendapat akses pendidikan yang menyamai atau hampir sama dengan anak-anak di bandar," katanya.
Comments