top of page
Farah Salim

Kuasa pengampunan tidak boleh dilaksana sewenang-wenang - Sultan Selangor


12 September 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan sokongan padu terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.


Titah baginda, rakyat perlu memahami bahawa proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosidur yang telah diperuntukan di bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan dengannya.


“Beta mengikuti dengan rapat dan mengambil perhatian terhadap perkembangan isu-isu berkaitan dengan sistem pentadbiran keadilan negara sejak kebelakangan ini.


“Beta menyeru rakyat agar sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan Badan Kehakiman (Judiciary) yang merupakan teras dan paksi kepada kedaulatan sistem demokrasi raja berperlembagaan yang diamalkan di Negara ini,” titah baginda dalam kenyataan media yang dikeluarkan Istana Alam Shah Klang, hari ini.


Sultan Sharafuddin bertitah, Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan martabat Institusi Kehakiman di satu tahap yang tinggi sebagai sebuah Badan Kehakiman yang bebas dan berwibawa.


“Badan Kehakiman merupakan benteng terakhir yang perlu dipertahankan bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.


“Rakyat perlu mengambil maklum bahawa Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja sebagaimana peruntukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan. Malah Perdana Menteri sebelum memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan lantikan seseorang.


“Hakim hendaklah terlebih dahulu berunding dengan Ketua Hakim Negara dan perlu mendapat pengesyoran dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.


“Proses lantikan seseorang hakim yang melalui proses yang teliti ini menunjukkan Badan Kehakiman berbeza dengan institusi-institusi kerajaan yang lain dan menggambarkan betapa pentingnya peranan Badan Kehakiman di dalam sistem pemerintahan Negara,” titah baginda.


Sultan Sharafuddin bertitah, kebebasan kehakiman membawa pengertian bahawa para hakim yang mengadili sesuatu kes dapat mentafsirkan undang-undang bersandarkan semata-mata kepada fakta dan keterangan tapa rasa takut, pilih kasih dan bebas dari sebarang pengaruh yang tidak dingini.


“Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahwa semua rakyat adalah sama rata di sisi undang-undang. Ini bermakna bahawa rakyat, tidak mengira status, jawatan, bangsa dan keturunan adalah tertakluk dan bertanggungjawab kepada undang-

undang yang sama.


“Setiap rakyat di Negara ini berkehendakkan keadilan, kesaksamaan serta ketelusan daripada Badan Kehakiman atas sesuatu kes yang diadili.


“Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa memelihara nama baik Badan Kehakiman agar ianya tidak tercemar dari sebarang bentuk pengaruh dan tekanan.


“Beta mengambil kesempatan di sini untuk mengingatkan pihak Eksekutif agar sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak dari sebarang cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran keadilan Badan Kehakiman.


“Kebebasan Badan Kehakiman memerlukan sokongan, dokongan, kefahaman dan iltizam dari semua pihak terutama dari pihak Eksekutif,” titah baginda.


Sehubungan itu, baginda menyeru semua pihak berganding bahu mempertahankan dan menjamin kebebasan Badan Kehakiman demi kesejahteraan dan kemakmuran Negara.


“Rakyat perlu memberi kepercayaan kepada sistem kehakiman negara tapa melemparkan tohmahan tidak berasas tanps mengetahui fakta dan alasan-alasan penghakiman terhadap sesuatu kes.


“Sebarang tohmahan tidak berasas ini akan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan Badan Kehakiman dan pasti menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara. Keadaan ini juga akan secara tidak langsung menjejaskan nama baik Negara di peringkat antarabangsa,” titah baginda.

Comments


bottom of page