top of page

Kuat Kuasa Akta 852 Di Fasa Akhir, Dapatkan Kelulusan AGC - Dzulkefly

  • nabalunews
  • Aug 25, 2024
  • 1 min read

24 Ogos 2024


KUALA BESUT : Peraturan dan perintah di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) masih di fasa akhir untuk mendapatkan kelulusan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ia boleh dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata setelah lima peraturan dan satu perintah di bawah akta itu diluluskan, ia akan dikembalikan kepada KKM untuk menguatkuasakannya, antaranya bagi mengekang isu penjualan rokok elektronik (vape) menerusi mesin layan diri.


"Dengan adanya akta ini, insya-Allah kejadian seperti itu akan dapat kita tangani dengan lebih berkesan lagi. Memang sebelum ini KKM maklumkan ia akan dikuatkuasakan pada bulan ini, tapi apakan daya... bukan segalanya terletak pada KKM.


"Kita bekerjasama dengan jabatan lain macam AGC kerana peraturan dan perintah adalah sangat penting untuk ditelitikan dengan terperinci supaya ia tidak mendatangkan apa-apa mudarat," katanya seperti dilaporkan Bernama.


Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai menjawab isu berkait penjualan vape menerusi mesin layan diri di ibu negara yang tular di media sosial baru-baru ini, selepas sesi Walkabout Program Premis Bersih, Bebas Asap Rokok (BeBAs) di Deretan Arked MARA, Pulau Perhentian, di sini hari ini.


Dzulkefly berkata KKM mengambil sikap untuk memastikan peraturan dan perintah di bawah akta itu diperhalusi secara lebih tuntas.


"Selagi belum ada akta itu, kita akan terus gunakan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004. Jadi, tidak ada rehatnya atau lompang dalam pelaksanaan itu," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page