Kumpulan Semenam Tambunan Johan Tarian Tradisi Etnik Sabah, Karnival Kesenian Tenom 2024
Oleh : Wartawan Nabalu News
8 Disember 2024
TENOM: Kumpulan Semenam Tambunan muncul sebagai Johan Pertandingan Tarian Tradisi Etnik Sabah sempena Karnival Kesenian Tenom 2024 yang berlangsung di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom di sini pada Sabtu.
Naib Johan dan tempat ketiga masing-masing disandang oleh kumpulan Astari Tenom dan Kentari Tuaran.
Karnival Kesenian yang menampilkan sembilan kumpulan penari etnik Sabah itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin.
Riduan dalam ucapannya berkata Sabah kaya dengan kepelbagaian etnik, yang menjadi lambang keindahan warisan budaya tradisi.
Katanya, antara tarian yang popular termasuk Tarian Sumazau, yang
berasal daripada suku kaum Kadazan-Dusun dan sering dipersembahkan semasa perayaan seperti Pesta Kaamatan.
Selain itu katanya, Tarian Magunatip dari etnik Murut, memukau penonton dengan kecekapan para penarinya mengelak disepit batang buluh.
"Tarian tradisional lain seperti Limbai dan Daling-Daling juga mencerminkan keunikan adat dan kehidupan masyarakat pelbagai suku di Sabah" katanya.
Riduan berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya Sempena Karnival Kesenian Tenom 2024 Dan Pelancaran Logo Kesenian Tenom di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom di sini pada Sabtu.
Menurut Riduan, setiap gerakan dan muzik yang mengiringinya membawa makna mendalam tentang sejarah, kepercayaan dan nilai masyarakat setempat.
Sehubungan itu katanya, seni budaya bukan sekadar warisan silam yang harus dipelihara bahkan ianya adalah jambatan menuju masa depan yang lebih gemilang kerana berupaya menjadi daya tarikan dalam sektor pelancongan dan ekonomi kreatif.
"Selain itu, saya melihat seni budaya adalah harta yang harus diwariskan kepada generasi muda. Ia bukan sahaja
menghubungkan mereka kepada sejarah dan asal usul mereka, tetapi juga menjadi landasan bagi membentuk jati
diri yang kukuh" jelasnya.
Mengenai penganjuran program ini, Riduan berkata, ia bukan sahaja dapat mendekatkan generasi muda dengan warisan kesenian dan kebudayaan tetapi turut mengangkat Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya yang unik dan berprestij.
Hozzászólások