top of page
Writer's pictureMarryan Razan

Kunjungan kreatif 72 Orang Asal Sarawak ke Sabah meriahkan sambutan Kaamatan


Rombongan Orang Asal Sarawak bergambar bersama selepas mengadakan persembahan kebudayaan di Waterfront Kota Kinabalu.

1 Mei 2022

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Kunjungan kreatif Orang Asal Sarawak ke Sabah untuk mempersembah dan mempromosikan tradisi, budaya, industri kreatif dan seni kebudayaan Sarawak sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2022 disambut meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.


Mereka disambut dengan persembahan kebudayaan masyarakat orang asal Sabah dan wakil orang Sarawak yang tinggal dan bekerja di negeri ini.



Rombongan 72 peserta Orang Asal Sarawak yang diketuai oleh Ikon Sarawak, Peter John Jaban akan berada di negeri ini sehingga 4 Mei ini.


Seramai 60 orang daripada peserta itu julung kalinya mencipta sejarah dengan memakai pakaian tradisional mereka atau Sirat di dalam pesawat dengan cara mendedahkan bahagian tubuh badan dan berkaki ayam untuk mempamerkan tattoo dan pakaian tradisional mereka.



Sejurus tiba di Kota Kinabalu mereka terus menuju ke Waterfront untuk membuat persembahan muzik dan tarian yang diketuai oleh beberapa pemuzik tradisional Sarawak yang terkemuka.


Peter berkata, antara tujuan kunjungan mereka ke Sabah adalah untuk mempromosikan budaya Sarawak secara lebih dekat kepada masyarakat Sabah.


“Orang asal Sabah dan Sarawak adalah satu rumpun yang sama. Saya berharap melalui kunjungan ini orang asal terutamanya generasi muda akan memahami adat dan budaya mereka,” katanya ketika ditemui Nabalu News.


Peter (dua kiri) bersama rombongan itu.

Peter yang juga pengasas Dayak Ritual Awareness Fellowship ( DRAF) berkata, selama berada di Sabah mereka akan mengadakan persembahan kebudayaan di beberapa daerah.


Mereka akan mengadakan persembahan di Tenom, seterusnya ke Keningau dimana mereka akan diberi taklimat mengenai Asal usul Batu Sumpah sebelum bergerak ke Tambunan untuk Melawat Tugu Pahlawan Tambunan dan ke Monurali Garden Resort, Penampang.



“Pada 3 Mei, rombongan kami akan kekal di Monurali Garden Resort, Penampang untuk mengadakan persembahan kebudayaan, demonstrasi membuat Tattoo, demonstrasi memasak dan menjual kraftangan Sarawak sebelum berangkat pulang ke Sarawak pada 04 Mei,” katanya.


Sementara itu Penganjur dan Pengurus Rombongan Dr. Robert Lingga amat menghargai dan berterima kasih diatas sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menjayakan aktiviti ini.




Comments


bottom of page