top of page

KURIKULUM SEJARAH DILAKSANAKAN PADA 2017 SEWAKTU MENTERI PENDIDIKAN DARI UMNO

nabalunews

Dr. Maszlee Malik

24 Feb 2021


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata tuduhan melulu Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyalahkan pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan (PH) adalah komen kosong tanpa usul periksa.


Dr.Maszlee berkata, ia seolah-olah menunjukkan sisi tidak mahir tentang proses dan tatacara penggubalan kurikulum oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta sebuah kecaman terhadap budaya kerja penjawat awam di KPM.


"Untuk menggubal kurikulum sesuatu subjek, ia memerlukan proses panjang dan ia telah dijadualkan secara teratur.


"Kurikulum Sejarah telah disemak semula pada 2014 dan dilaksanakan pada 2017 bermula dengan murid-murid Tingkatan Satu. Ini bererti, kohort murid-murid tingkatan satu pada 2017 akan memasuki Tingkatan Empat pada tahun 2020.


"Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) ini sebenarnya telah diperkenalkan pada 2017 menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang mula dilaksanakan pada tahun 1989.


"KSSM ini telah bermula pada tahun 2017, yang mana waktu itu Menteri Pendidikan adalah dari parti Umno," katanya dalam perkongsian melalui media sosial Facebook beliau, hari ini.


Dr.Maszlee menjawab kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa sukatan buku teks Sejarah Tingkatan 4 mengandungi fakta yang mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.


Dr.Asyraf Wajidi dipetik sebagai berkata, buku teks tersebut mempunyai elemen memfitnah orang Melayu sebagai barua atau orang suruhan pihak penjajah Jepun untuk menentang komunis dan Tentera Anti Jepun Tanah Melayu (MPAJA).


“Perkara ini semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan Pakatan Harapan yang memerintah bagi menanamkan benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan,” kata Asyraf Wajdi.


Pada muka surat 75 buku teks tersebut menyatakan terdapat gerila Cina yang dikuasai oleh nasionalis daripada Parti Kuomintang (KMT) menentang tentera Jepun di utara Tanah Melayu terutamanya di Hulu Perak dan Kelantan.


Dr.Maszlee berkata, proses penggubalan kurikulum mengambil masa beberapa tahun dan proses itu melibatkan panel pakar yang berpengalaman dalam subjek Sejarah.


"Mereka terdiri daripada pakar sejarah terkenal dalam negara, pensyarah universiti, pensyarah Institut Pendidikan Guru, guru pakar dan guru-guru mata pelajaran sejarah.


"Setiap kurikulum yang selesai digubal akan melalui proses ujian rintis di sekolah sebenar bagi memastikan kebolehlaksanaan kurikulum tersebut di samping mendapatkan pandangan guru-guru yang akan melaksanakan kurikulum tersebut.


"Melalui ujian rintis tersebut, penambahbaikan akan dilakukan berdasarkan pandangan guru-guru," katanya.


Beliau menjelaskan bahawa, semua proses itu melibatkan beberapa fasa seperti pengkopsepsian kurikulum, pemetaan kurikulum, uji rintis & pelaksanaan Dokumen Standard Sekolah Rendah (DSKP) dan kursus penataran. Ini semua mengambil masa sekitar 3 hingga ke 5 tahun.


"Amat mustahil untuk PH melakukan semua ini dalam masa setahun lebih memerintah.


"Ini bermakna untuk buku teks yang dicetak pada 2019 dan digunakan pada tahun 2020, prosesnya bermula sejak 2014/2015 lagi. Menteri Pendidikan pada tahun 2015 adalah dari parti Umno," katanya.


Dr.Maszlee menjelaskan, melalui KSSM yang dimulakan 2017, Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP) menetapkan kandungan KSSM Sejarah adalah berbentuk kronologi yang membincangkan perihal kehidupan masyarakat dan negara daripada aspek politik, ekonomi dan sosial.


"Dr Asyraf Wajdi boleh meneliti sendiri senarai Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah & Buku Teks Sejarah KPM iaitu Prof. Madya Shamrahayu Aziz (UIAM); Prof. Kamaruzaman Yusoff (UTM); Prof. Emeritus Abdullah Zakaria Ghazali dan Dr. Ho Hui Ling(UM); Prof. Sivamurugan Pandian (USM); Prof. Madya Rohani Abd Ghani (UKM) dan Prof. Madya Bilcher Bala (UMS)," katanya.


Dr.Maszlee berkata, adalah lebih tepat jika Dr Asyraf bertanya kepada pakar-pakar itu, daripada menuduhnya dan PH secara membuta tuli.


“Konklusinya jelas, cetakan 2019 ialah hasil daripada keputusan 2017,” katanya.


Beliau memberi nasihat kepada Dr Asyraf Wajdi supaya menyiasat, membuat usul periksa dan memahami proses dan tatacara gerak kerja penjawat awam sebelum membuat sebarang tuduhan.

תגובות


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page