Kursus Penyediaan Makanan Organik Ternakan
- nabalunews
- Jan 25
- 1 min read

25 Januari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Komuniti Kampung Purak Ogis, Kadamaian akan menganjurkan Kursus Penyediaan Makanan Organik Ternakan, pada 12 Februari depan.
Program yang diadakan di Dewan D'Lontupak View Kampung Purak Ogis, itu terbuka kepada 100 peserta terawal dengan yuran hanya sebanyak RM70 seorang.
Antara pengisian program berkenaan termasuk mempelajari cara-cara penyediaan makanan ternakan organik berkualiti yang diberikan penceramah jemputan iaitu pengurus Victor Organic Sdn. Bhd, Dell Darion Victor.
Penyelaras program, Alexius Sagun berkata, kursus itu bertujuan memberi panduan praktikal kepada peserta mengenai penyediaan makanan organik untuk ternakan.
Katanya, makanan organik yang dihasilkan menggunakan sumber semula jadi ini bukan saja mesra alam tetapi juga dapat meningkatkan kesihatan ternakan secara signifikan.
“Salah satu fokus utama kursus ini adalah membantu peserta memahami cara menjimatkan kos operasi dengan menghasilkan makanan organik berkualiti tinggi.
“Teknik ini diharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada makanan ternakan komersial yang sering kali mahal,” katanya.
Alexius berkata, selain mempelajari teknik praktikal, peserta juga berpeluang mendengar sesi perkongsian pengalaman daripada pakar industri ternakan.
Katanya, ia memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan pakar, sekaligus menambah pengetahuan dalam meningkatkan produktiviti ternakan melalui pendekatan organik.
“Kursus ini bukan saja tertumpu kepada penyediaan makanan, tetapi juga bagaimana menjaga kualiti ternakan anda sambil mengurangkan kos dan menyumbang kepada penjagaan alam sekitar.
“Bersama-sama kita tingkatkan kualiti ternakan, kurangkan kos dan selamatkan alam sekitar dengan penyelesaian organik,” tegasnya.
Menurutnya, mereka yang berminat boleh mendapat sebelum tarikh tutup pada 8 Februari depan.
Katanya, orang ramai yang berminat disaran segera mendaftar kerana tempat adalah terhad.
“Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau mendaftar, orang ramai boleh menghubungi saya di talian 016-8051075,” katanya.
Comments