top of page

Kursus tanaman dan pembuatan bongkah cendawan tiram tarik minat komuniti Tandek Laut

  • nabalunews
  • Oct 28, 2024
  • 1 min read

28 Oktober 2024


KOTA MARUDU: Kursus Tanaman dan Pembuatan Bongkah Cendawan Tiram yang diadakan di Kampung Tandek Laut pada 23 Oktober lalu telah berjaya menarik minat seramai 18 peserta daripada pelbagai latar belakang.


Kursus ini merupakan inisiatif Syarikat Sasaran Progressive Solution dengan kerjasama Donna Enterprise, yang bertujuan memperkenalkan teknik pembuatan bongkah cendawan tiram secara lebih mendalam kepada komuniti setempat.


Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Marudu merangkap Pengarah Urusan Sasaran Progressive Solution, Pillexson James, berkata kursus ini memberi peluang kepada peserta untuk memperoleh kemahiran baharu dalam bidang pertanian moden yang semakin popular.


Menurut beliau, kursus ini turut memberi pendedahan kepada teknik pembuatan bongkah yang lebih efisien, menjadikan usaha ini lebih berpotensi dan mudah dikembangkan.


Selain daripada latihan praktikal, peserta juga diberi penerangan mengenai pelbagai skim pembiayaan yang disediakan oleh agensi seperti RISDA Kota Belud dan Lembaga Pertubuhan Peladang.


Langkah ini diambil bagi membuka peluang kepada peserta untuk memulakan atau mengembangkan lagi usaha tani mereka dengan sokongan kewangan yang mencukupi.


Pillexson menambah bahawa setiap peserta kursus ini menerima Sijil Penyertaan sebagai tanda penghargaan.


Di samping itu, program ini turut mencatatkan kejayaan apabila berjaya menjual 100 bongkah cendawan, menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi dari kalangan peserta.


Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Donna Enterprise dan Tony Makapin atas sokongan serta kerjasama mereka dalam menjayakan kursus ini.


Pillexson menggalakkan mereka yang berminat untuk menyertai kursus akan datang atau membeli bongkah cendawan tiram untuk menghubungi Syarikat Sasaran Progressive Solution bagi mendapatkan maklumat lanjut dan khidmat nasihat.


Kursus ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai individu untuk menceburi bidang pertanian moden, sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page