KUSKOP adakan libat urus dengan Kerajaan Sabah terkait RUU Koperasi yang baharu
- Wartawan Nabalu News
- May 2
- 2 min read

2 Mei 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengadakan sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri Sabah hari ini bagi membincangkan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Koperasi baharu yang akan menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, sesi libat urus tersebut bertujuan mendapatkan input serta pandangan konstruktif daripada anggota pentadbiran kerajaan negeri bagi penambahbaikan draf RUU Koperasi.
“Sesi ini turut menyentuh isu berkaitan Ordinan Tanah Sabah serta aspek perundangan yang memberi kesan terhadap syarat permohonan pembiayaan melalui Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMP-SKM), khususnya melibatkan penggunaan tanah anak negeri sebagai cagaran,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada sesi taklimat dan libat urus RUU Koperasi baharu bersama Kerajaan Negeri Sabah, di Hotel Hilton, di sini, hari ini.

Ewon berkata, pihak kementerian menghargai penyertaan dan sumbangan cadangan daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah.
Katanya, semua cadangan yang dikemukakan akan diteliti dan diambil kira dalam penyediaan RUU tersebut.
Menurutnya lagi, penggubalan RUU baharu ini bertujuan memperkasa gerakan koperasi melalui liberalisasi aspek perundangan dan memperkukuh peranan SKM sebagai badan kawal selia utama.
“Beberapa kajian yang dilaksanakan pada 2023 mendapati wujud kekangan undang-undang yang menyukarkan koperasi menjalankan aktiviti perniagaan secara langsung dalam pelbagai sektor.
“Sebagai contoh, Akta Industri Pelancongan 1992 dan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 hanya membenarkan syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016 untuk beroperasi dalam sektor-sektor berkenaan,” katanya.
Beliau berharap penggubalan RUU ini akan memperkukuh ekosistem koperasi, memudahkan urusan perniagaan serta meningkatkan tadbir urus ke arah pembangunan ekonomi negara yang lebih inklusif dan mampan.
Setakat ini, KUSKOP dan SKM telah melaksanakan 10 sesi libat urus melibatkan 295 koperasi dan 47 agensi kerajaan.
Sabah menjadi lokasi terbaharu sesi ini, manakala sesi seterusnya dijadualkan diadakan di Pulau Pinang susulan permintaan daripada Exco Koperasi negeri tersebut.


















Comments