top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP anjur Program Kesepaduan Komuniti Usahawan, Ramah Mesra Krismas, 24-25 Dis ini

19 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menganjurkan dua program di Sabah pada 24 dan 25 Disember ini.


Acara itu ialah Program Kesepaduan Komuniti Usahwan dan Koperasi Parlimen Penampang pada 24 Disember dan sambutan Ramah Mesra sempena sambutan Krismas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, di Dewan Pusat Kebudayaan Penampang.


Pelbagai acara menarik disusun sempena Program Kesepaduan Komuniti Usahawan dan Koperasi, antaranya pameran booth KUSKOP dan agensi, jualan usahawan dan jualan harga patut.


Selain pameran, sesi pocket talk juta turut diadakan bersama Tekun Nasional, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan SME Corp Malaysia.


Kedua-dua program itu bermula pada jam 8 pagi dan akan dirasmikan oleh Ewon.


Ewon berkata, sambutan Krismas dan Program Kesepaduan Komuniti Usahawan dan Koperasi Parlimen Penampang adalah julung kalinya dianjurkan KUSKOP di Sabah bertujuan mendekatkan agensi dan kementerian kepada rakyat negeri itu.


Selain itu katanya, ia juga adalah simbolik untuk menzahirkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan usahawan dan koperasi di peringkat persekutuan mahupun peringkat Wilayah Sabah dan Sarawak.


“Saya berharap program seumpama ini menjadi satu permulaan yang baik ke arah merealisasikan agenda kerajaan dalam pengukuhan ekonomi melalui keusahawanan dan koperasi.


“Ini juga adalah platform terbaik untuk memberikan pendedahan kepada para usahawan dan koperasi di Sabah mengenai hala tuju dalam mengukuhkan lagi perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang turut mengalu-alukan orang ramai khususnya rakyat Penampang supaya hadir beramai-ramai memeriahkan acara itu.

Comments


bottom of page