top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP berusaha dapatkan peruntukan sokong perusahaan sosial: Ewon



9 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan untuk penyediaan peruntukan baharu bagi pengembangan perniagaan perusahaan sosial (SE).


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, memandangkan pembangunan perusahaan sosial merupakan satu dasar baharu, tiada peruntukan diberikan kepada pembangunan kapasiti perusahaan sosial.


“Bagaimanapun kementerian ini akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan untuk penyediaan peruntukan baharu bagi inisiatif pembangunan kapasiti perusahaan sosial, selaras dengan permohonan dana yang telah dikemukakan sebelum ini.


“Saya sendiri akan berbincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk disediakan sejumlah peruntukan bagi kementerian saya menyokong sektor Perusahaan Sosial di negara kita,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2023, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Ewon berkata demikian bagi menjawab isu yang dibangkitkan mengenai kepentingan pengembangan perniagaan berteraskan keusahawanan sosial untuk mengurangkan kemiskinan tegar terutamanya di kawasan luar bandar.


“Kerajaan telah mengiktiraf perusahaan sosial sebagai salah satu kaedah dalam menangani isu sosial / alam sekitar yang mampu menjangkau kumpulan sasar tertentu serta mengurangkan bebanan peruntukan kerajaan.


“Isu-isu sosial yang dimaksudkan termasuklah isu kemiskinan tegar terutamanya di luar bandar. Matlamat utama penubuhan perusahaan sosial adalah untuk memberikan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar di samping mempunyai model perniagaan yang mampan,” katanya.


Ewon berkata, pembangunan ekosistem keusahawanan sosial juga digariskan di dalam Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030).




تعليقات


bottom of page