top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP dan Sekretariat SMJ bincang cadangan interensi tangani insiden kemiskinan tegar Sabah – Ewon

22 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan sekretariat SMJ akan mengadakan perbincangan mengenai intervensi menangani insiden kemiskinan tegar di Sabah.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, perbincangan itu adalah bagi merumuskan cadangan-cadangan intervensi keusahawanan dan pendidikan dalam usaha menangani insiden kemiskinan seterusnya melengkapi inisiatif-inisiatif yang telah dirancang.


“Saya ingin menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama bagi membangunkan sektor keusahawan melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah seperti yang dihasratkan oleh Tuan Yang Terutama.


“KUSKOP akan menyusuli amanat ini dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah bagi pembangunan komuniti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi di Sabah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan ke atas usul TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Haji Mahirudin, di sini, hari ini.


Ewon berkata, pencapaian pelaburan asing dengan nilai keseluruhan RM26.7 bilion dalam tempoh dua tahun iaitu 2021 hingga 2023 serta penurunan daftar miskin tegar daripada 22,150 kepada 12,555 isi rumah adalah dua pencapaian besar yang harus dihargai dan dibanggakan.


“Pada saya, kita bukan hanya perlu menarik pelaburan asing langsung ke Sabah, tetapi juga menyediakan premis, pembiayaan, program bimbingan dan promosi kepada komuniti PMKS.


“Saya berpandangan gerakan keusahawanan, gerakan koperasi dan gerakan pendidikan boleh membawa keluar keluarga miskin tegar di Sabah selain daripada bantuan rumah dan kebajikan,” katanya.


Ewon turut menghargai persetujuan Kerajaan Sabah menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Bersama bagi menyelaras puluhan agensi dan jabatan terkait fungsi pembangunan keusahawanan agar memberikan impak maksimum kepada aktiviti ekonomi di Sabah.

Comments


bottom of page