KUSKOP komited perkasakan PMKS, sokong pembangunan sektor tersebut
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP komited perkasakan PMKS, sokong pembangunan sektor tersebut


1 August 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


BANGI: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bertekad untuk memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya kekal berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.


Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya melalui agensinya SME Corp. Malaysia komited memperkukuhkan pelaksanaan program-program pembangunan PMKS secara bersasar bagi meningkatkan daya tahan dan pertumbuhan sektor tersebut.


"Setakat ini, terdapat 225 program pembangunan PMKS yang sedang giat dilaksanakan oleh 12 kementerian, 56 agensi dan tujuh Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM10.6 bilion," katanya pada majlis pengumuman prestasi PMKS di Bangi pada Selasa.


Dalam ucapannya, beliau turut menggesa agar PMKS untuk berfikir secara global bagi memastikan produk dan perkhidmatan mereka mencapai kualiti, piawaian, kapasiti pengeluaran dan tempoh penghantaran yang memenuhi kehendak pasaran dan kalis masa hadapan.


"Dasar dan inisiatif Kerajaan yang berstruktur dan menyokong pembangunan PMKS, di samping penyediaan pelbagai pakej rangsangan telah membantu PMKS kembali pulih daripada kesan pandemik COVID-19," katanya.


Beliau berkata, PMKS Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 11.6 peratus pada 2022 mengatasi pertumbuhan KDNK negara pada 8.7 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Sumbangan PMKS kepada KDNK juga meningkat kepada 38.4 peratus kepada 37.4 peratus pada 2021, manakala nilai ditambah berjumlah RM580.4 bilion, menandakan peningkatan yang ketara daripada RM520.0 bilion pada tahun 2021.


"KUSKOP akan terus komited dalam memperkasa PMKS supaya kekal berdaya saing bagi membolehkan mereka menembusi pasaran yang lebih luas di peringkat antarabangsa," katanya.


Ewon berkata, matlamat tersebut adalah selaras dengan aspirasi Kerangka Ekonomi Malaysia Madani yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.


bottom of page