KUSKOP terus perkasa koperasi dalam sektor peruncitan, tangani kos sara hidup
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP terus perkasa koperasi dalam sektor peruncitan, tangani kos sara hidup


6 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA KUBU BHARU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) komited untuk terus memperkasakan penglibatan koperasi dalam sektor pemborongan dan peruncitan bagi membantu kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antaranya, inisiatif Jualan Madani Koperasi (JMK) bagi membantu meringankan beban masyarakat yang dilaksanakan di premis perniagaan koperasi serta kawasan-kawasan terbuka.

 

Beliau berkata, bagi negeri Selangor sahaja, sehingga Mei tahun ini, sebanyak 226 Coop Mart dibuka di seluruh negeri melibatkan koperasi Sekolah, Pengguna, IPT dan Bukan Pengguna.


“Perolehan direkodkan bagi koperasi fungsi pengguna sehingga 31 Disember 2023 adalah sebanyak RM276,269,797.00.


“Jumlah perolehan ini turut merangkumi perolehan dari koperasi yang melaksanakan aktiviti stesen minyak.

 

“SKM telah memperuntukan insentif sebanyak RM20,000 bagi melaksanakan JMK,” katanya di sesi walkabout di sini, hari ini.


Sempena program ini, Ewon turut berramah mesra bersama pengunjung yang hadir dan seterusnya melancarkan Jualan Happy Hour dengan menambah sebanyak 10% lagi diskaun menjadikan jumlah penjimatan yang dinikmati oleh pengguna berjumlah 30% selama 1 jam atau sehingga barangan yang dikhususkan untuk happy hour habis dijual.

 

“Program Jualan MADANI Koperasi turut dilaksanakan di seluruh negeri dimana sehingga 3 Mei ini sebanyak 22 program Jualan MADANI Koperasi telah diadakan di 16 kawasan parlimen buat masa ini yang telah memberi manfaat kepada 119,963 pengguna terdiri dari kalangan anggota koperasi dan masyarakat setempat.


“Program ini juga telah merekodkan jumlah jualan sebanyak RM2,8712,405 melalui 87 koperasi yang dilantik sebagai operator jualan.


“Secara keseluruhannya KUSKOP dan SKM telah memperuntukan insentif sebanyak RM682,212 kepada Koperasi bagi melaksanakan JMK kepada pengguna selaku penerima manfaat,” katanya.

 

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SKM Rusli Jaafar, EXCO Kemajuan Desa & Perpaduan Negeri Selangor Datuk Haji Rizam Haji Ismail dan Pengarah SKM Cawangan Negeri Selangor Zahir Dahari.

bottom of page