top of page
  • nabalunews

KWSP AKAN BUKA SEMULA CAWANGAN DI SABAH PADA 2 NOV


1 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyambung semula perkhidmatan tertentu di cawangannya di seluruh Sabah bermula Isnin, 2 November 2020, dari pukul 9 pagi hingga 2 petang pada hari bekerja.

Bagaimanapun, cawangan KWSP Tawau hanya akan dibuka semula pada 4 November 2020, kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

“KWSP sedang mengambil pendekatan berjaga-jaga berikutan peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara.

“Sebarang kesulitan yang timbul daripada pengurangan perkhidmatan ini adalah dikesali, namun kesihatan dan keselamatan ahli serta majikan yang hadir di cawangan KWSP setiap hari daripada pelbagai lokasi perlu menjadi keutamaan,” kata dana pencen itu.

KWSP berkata walaupun jumlah kes COVID-19 sedang meningkat, keputusan untuk menyambung perkhidmatan tertentu di cawangan yang dinyatakan itu adalah untuk membantu ahli yang memerlukan akses kepada simpanan mereka.

Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para ahli, majikan, dan kakitangannya sentiasa terjaga, KWSP akan terus melaksanakan beberapa langkah, antara lainnya, ahli hanya boleh hadir di cawangan dengan membuat janji temu melalui saluran Janji Temu Online di laman web www.kwsp.gov.my/janjitemu.

Ahli hanya boleh berurusan untuk perkhidmatan tertentu di cawangan Sabah bagi pengeluaran umur 50/ 55/ 60 tahun dan pengesahan cap ibu jari e-Pengeluaran.

KWSP berkata semua ahli perlu menjalani pemeriksaan suhu dan mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premisnya dan dikehendaki mematuhi langkah-langkah penjarakan fizikal yang ditetapkan pada setiap masa ketika berada di dalam premis KWSP. – Bernama

bottom of page