• nabalunews

LABUAN CATAT KADAR VAKSINASI COVID-19 TERTINGGI DI NEGARA INI

Updated: Mar 5


Gambar hiasan

4 Mac 2021


LABUAN: Kira-kira 76.45 peratus atau 1,789 daripada 2,340 anggota barisan hadapan di Wilayah Persekutuan Labuan telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat ini dengan bakinya dijangka menerima vaksin tersebut secara berperingkat hingga April.


Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan Rithuan Ismail berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Labuan yang dilancarkan pada 27 Feb lalu menerima sambutan memberangsangkan daripada petugas barisan hadapan dan juga ketua-ketua jabatan kerajaan.



“Kami tidak menyangka dapat melaksanakan program vaksinasi ini dengan cepat serta menjadi wilayah yang merekodkan penerima vaksin paling ramai berdasarkan nisbah setiap 100,000 orang di negara ini,” katanya kepada Bernama hari ini.


Katanya program itu dilaksanakan di tiga pusat pemberian vaksin iaitu Klinik Kesihatan Membedai, Hospital Labuan dan Rumah Sakit Angkatan Tentera di Pangkalan Udara Labuan.


Beliau juga berkata vaksinasi ke atas 450 petugas barisan hadapan di Hospital Labuan selesai hari ini.


Labuan menerima 4,680 dos vaksin Pfizer-BioNTech pada 26 Feb lalu untuk digunakan dalam fasa pertama program imunisasi tersebut di wilayah berkenaan. - Bernama


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com