top of page
  • Wartawan Nabalu News

LAKSANAKAN JANJI HANTAR PULANG 'KUMPIT-KUMPIT' WARGA ASING: PEMUDA UPKO


Felix Joseph

27 April 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggesa kerajaan hari ini lebih tegas, ikhlas dan berani menangani isu ‘kumpit-kumpit’ warga asing di negeri ini.


Ketuanya Felix Joseph Saang berkata, ini kerana ia adalah antara perkara utama yang telah dijanjikan kerajaan GRS kepada rakyat Sabah pada pilihan raya lalu.


“Malangnya apa yang berlaku adalah sebaliknya. Belum ada usaha yang jelas untuk menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai lapan lelaki warga Filipina yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan kerana menggunakan kad pengenalan palsu.


Felix berkata, selain pemberian IMM13, terkini ialah terdapat warga asing memperolehi kad pengenalan palsu daripada ejen-ejen di Sabah.


“Perkara ini amat membimbangkan rakyat Sabah, sebab itu rakyat berhak mengetahui apa sebenarnya yang sedang berlaku dan apa usaha kerajaan pada hari ini untuk menangani masalah ‘kumpit-kumpit’,” katanya.


Dalam laporan akhbar nasional baru-baru ini, lapan lelaki warga warga Filipina berusia antara 23 hingga 58 tahun ditahan dalam Operasi Terancang di Stadium Merdeka Kuala Lumpur.


Hasil siasatan mendapati kesemua warga asing itu memperolehi kad pengenalan palsu dari ejen di Sabah sebelum menyelinap masuk ke Semenanjung untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.


Felix yang juga Ketua Bahagian UPKO Beluran berkata: “tindakan tegas perlu diambil terhadap ejen-ejen tidak bertanggungjawab sama ada sebelum kerajaan hari ini, selepas atau sekarang (kerajaan pada hari ini).”


“Kita juga berharap agar janji Kerajaan GRS untuk menghantar pulang ‘kumpit-kumpit’ warga asing dilaksanakan segera,” katanya.


Comentários


bottom of page