LAPAN REMAJA NYARIS MAUT, JAMBATAN GANTUNG PUTUS KETIKA MENCARI CAPAIAN INTERNET
26 NOV 2020
RANAU: Niat sekumpulan remaja termasuk tiga pelajar sekolah menengah untuk mencari capaian internet di atas sebuah jambatan gantung dekat Kg.Gusi di sini bertukar tragedi apabila jambatan tersebut putus pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Sammy Newton ketika mengesahkannya berkata, dalam kejadian lebih kurang 09.30 malam itu, lapan mangsa terdiri enam lelaki dan dua perempuan berada di atas jambatan ketika insiden malang berlaku.
Katanya, ketika kejadian, kesemua mangsa yang berumur 15 hingga 18 tahun dikatakan sedang mendapatkan capaian internet di atas jambatan gantung berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, jambatan gantung setinggi 50 kaki yang menjadi laluan penduduk Kg.Gusi dan sekitarnya dipercayai tiba-tiba putus mengakibatkan kesemua mangsa terjatuh.
” Akibat kejadian itu, seorang remaja perempuan mengalami kecederaan parah patah paha dan seorang lagi iaitu remaja lelaki cedera tulang belakang.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut, manakala mangsa lain mendapat rawatan pesakit luar di klinik kesihatan Kaingaran,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin, hari ini.
Menurut DSP Sammy, setakat ini kejadian masih tidak dilaporkan kepada pihak Polis. Maklumat hanya diperolehi melalui penularan berita melalui aplikasi Whatsapp sebelum pihak polis bertindak melakukan siasatan.
Sementara itu, seorang penduduk kampung yang sempat dihubungi berkata, jambatan tersebut sudah usang tetapi hanya di kawasan itu capaian internet laju dan menjadi tumpuan penduduk untuk mendapatkan akses internet termasuk pelajar sekolah.
- borneodailybulletin
Kommentare