nabalunews
Lapangan Terbang Tawau perlu diperbesarkan - PM
29 September 2024
MIRI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Lapangan Terbang Tawau akan diperbesarkan untuk menampung keperluan penumpang yang kian bertambah khususnya pelancong dari Korea, Jepun dan Cina.
“Lapangan Terbang Tawau dianggap kecil dan tidak termasuk dalam senarai keutamaan tetapi sekarang sudah menjadi tarikan pelancong dari Korea, Jepun dan Cina maka ia terpaksa diperbesar dengan segera,” katanya.
Perdana Menteri juga bersetuju supaya Lapangan Terbang Miri diperbesarkan susulan peningkatan jumlah penumpang yang menggunakannya.
Beliau berkata kadar pertumbuhan jumlah pengguna lapangan terbang itu meningkat hampir 90 peratus berbanding tahun lepas dan ini mewajarkan keperluan untuk meningkatkan lagi infrastruktur berkenaan.
“Saya setuju untuk beri perhatian dan dapat juga maklumat daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Kementerian Kewangan. Pada malam ini, wajar saya umumkan bahawa projek pembesaran Lapangan Terbang Miri itu kita luluskan,” katanya seperti dilaporkan Bernama
Perdana Menteri berucap pada majlis jamuan negeri di sini malam ini sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Sarawak.
Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar serta beberapa menteri Persekutuan dan negeri.
Sebelum itu pada petang sebelumnya, Perdana Menteri merasmikan Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang di pekarangan sebuah pusat membeli-belah terkemuka di sini.
Program itu dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri menerusi kerjasama strategik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air selaku kementerian peneraju serta kerajaan negeri Sarawak selaku tuan rumah.
Selepas ini, Anwar dijadualkan ke Kapit di mana beliau akan meninjau beberapa projek infrastruktur Persekutuan dan menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk di bandar Kapit serta sebuah rumah panjang berdekatan.
Comments