LARANGAN RENTAS NEGERI KEKAL SEHINGGA 18 MAC, RENTAS DAERAH DIBENAR KECUALI SABAH - ISMAIL SABRILARANGAN RENTAS NEGERI KEKAL SEHINGGA 18 MAC, RENTAS DAERAH DIBENAR KECUALI SABAH - ISMAIL SABRI
top of page
  • nabalunews

LARANGAN RENTAS NEGERI KEKAL SEHINGGA 18 MAC, RENTAS DAERAH DIBENAR KECUALI SABAH - ISMAIL SABRI


Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

2 Mac 2021


KUALA LUMPUR: Larangan pergerakan merentas negeri di seluruh negara ketika ini dikekalkan manakala pergerakan rentas daerah dibenarkan kecuali di Sabah berkuat kuasa 5 hingga 18 Mac ini.


Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata larangan merentas daerah di Sabah dikekalkan untuk tempoh dua minggu atas permintaan kerajaan negeri.



"Kita faham Sabah negeri yang amat besar, satu daerah mereka lebih besar daripada kebanyakan negeri di Semenanjung. Sebab itu kerajaan Sabah minta tangguh (rentas daerah) di negeri itu," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.


Selain itu, Ismail Sabri berkata status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula pada 5 Mac sehingga 18 Mac ini.


Beliau berkata status PKPB di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak pula dikekalkan manakala status PKPB di Melaka, Pahang, Terengganu, Putrajaya, Labuan ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).


"Arahan itu berkuat kuasa 5 hingga 18 Mac kecuali di Sarawak pelaksanaan PKPB bermula pada 2 Mac hingga 15 Mac ini. Perlis pula kekal dengan status PKPP," katanya.


Ismail Sabri berkata PKPD di kawasan rumah pangsa dan perumahan Town Villa di Sibu Jaya, Sibu, Sarawak akan ditamatkan mengikut jadual pada Khamis ini kecuali di blok C, H, J, K, L, N dan R yang dilanjutkan sehingga 11 Mac ini.



Beliau berkata penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati kes positif di perumahan Town Villa dan sebahagian besar blok-blok rumah pangsa itu menunjukkan penurunan.


“Sehingga kini, KKM laksanakan saringan terhadap 6,818 penduduk dan daripada jumlah itu terdapat 277 kes positif direkodkan melibatkan dua lokaliti itu,” katanya.


Sementara itu, seramai 400 individu telah ditahan semalam atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan 352 kompaun dikeluarkan manakala 48 individu direman atas pelbagai kesalahan termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri pelanggan.


Mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata seramai lapan pendatang asing ditahan serta lima kenderaan darat dirampas manakala 74 kapal dikesan di perairan negara semalam.


Setakat 28 Feb, seramai 12,121 pendatang asing serta 922 tekong ditangkap, katanya.

- Bernama


bottom of page