nabalunews
LAWAN BERITA PALSU DENGAN FAKTA, BUKAN AKTA
14 Mac 2021
Maklumat palsu mengenai isu kritikal termasuk wabak Covid-19 dan proklamasi darurat harus ditangani dengan fakta dan bukan Akta, kata gabungan organisasi masyarakat sivil yang memfokuskan kepada kebebasan bersuara.
Menggesa agar parlimen bersidang semula bagi memastikan proses semak dan imbang, kira-kira 20 individu berhimpun secara aman bagi membantah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.
Kumpulan itu berhimpun di luar bangunan parlimen dengan mematuhi penjarakan fizikal dan mempamerkan plakad bagi menyampaikan mesej mereka kepada kerajaan.
Jurucakap kumpulan itu, Watshlah Naidu dan Jac SM Kee bergilir-gilir membacakan tuntutan kumpulan berkenaan, termasuk menggesa sidang parlimen diadakan segera.
Bercakap kepada wartawan, Kee berkata tafsiran peruntukan di bawah ordinan itu bagi mengekang penyebaran atau maklumat palsu mengenai Covid-19 dan pengisytiharan darurat adalah terlalu luas.
"Ini boleh digunakan oleh pihak eksekutif untuk membungkam segala bentuk ucapan," kata aktivis hak digital itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata Ordinan Darurat dan ordinan yang berkaitan akan dimansuhkan pada sidang parlimen berikutnya setelah darurat ditarik balik atau berakhir setelah enam bulan daripada tarikh tamat darurat.
Watshlah, bagaimanapun, berkata tiada kepastian bilakah darurat akan ditarik balik.
“Apa kita lihat adalah rekod-rekod janji yang tidak ditepati sejak setahun lalu.
"Walaupun kerajaan kata ia akan tamat pada Ogos, kita tidak diberikan jaminan bahawa ia akan tamat," katanya.
Dia berkata ada berbagai kemungkinan tindakan yang boleh diambil di bawah ordinan tersebut, dengan merujuk kes-kes yang sedang berlangsung yang dianggap menyekat hak rakyat terhadap kebebasan berekspresi dan maklumat.
"Memiliki lebih banyak akta hanya akan menyusahkan rakyat, ketika lebih banyak fakta akan memberi kita maklumat yang diperlukan untuk membuat keputusan yang tepat.
"Sekiranya kerajaan hanya menggunakan akta-akta untuk membungkam rakyat, maklumat itu akan menjadi naratif sehala, jadi bagaimana kita boleh menentukan ketepatannya?" soalnya. - Malaysiakini
Comments