Lawatan rasmi Anwar capai objektif perkukuh hubungan Malaysia-Mesir
13 November 2024
KAHERAH: Lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Mesir atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi membawa kejayaan besar dalam aspek memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan Mesir serta membuka peluang baharu dalam sektor pelaburan bagi kedua-dua negara.
Dalam pertemuan dan mesyuarat dua hala antara Anwar dan El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menaik taraf hubungan dua hala yang sedia ada kepada tahap Perkongsian Strategik pada masa akan datang yang mencerminkan kesepakatan kedua-dua negara untuk mengeratkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang yang bermanfaat kepada pembangunan ekonomi dan sosial, serta mengekalkan kestabilan serantau.
“Lawatan ini secara keseluruhan telah mencapai objektifnya iaitu mengeratkan lagi kerjasama dua hala ke arah menaik taraf hubungan dua hala Malaysia-Mesir, ke arah Perkongsian Strategik pada masa hadapan.
“Lawatan ini juga membuka peluang kepada Malaysia untuk menyatakan pendirian serta mencapai persetujuan dengan pihak Mesir ke arah menangani pelbagai isu-isu global semasa, termasuk krisis Palestin-Israel,” kata Anwar kepada wartawan Malaysia pada hari akhir lawatannya pada Selasa sebelum berlepas ke Peru untuk melakukan lawatan rasmi ke negara itu.
Mengenai isu Palestin, kedua-dua pempimpin mengutuk sekeras-kerasnya keganasan Israel ke atas rakyat Palestin, dan Malaysia bersama Mesir akan terus bekerjasama untuk mendesak supaya serangan ke atas Palestin dan Lubnan dihentikan serta-merta.
Dalam lawatan rasmi yang diadakan sempena ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-Mesir yang ke-65 tahun itu, kedua-dua pemimpin juga sepakat dan komited mencari jalan penyelesaian kekal ke arah negara Palestin yang berdaulat.
Selain itu, Anwar juga memanfaatkan sepenuhnya pertemuannya dengan El-Sisi untuk menyatakan hasrat Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun hadapan untuk menjadikan Sidang Kemuncak ASEAN sebagai platform dialog serantau, termasuk kerjasama dengan Mesir sebagai pengasas Kesatuan Afrika.
“Mesir yakin bahawa Malaysia akan memainkan peranan penting memperkukuhkan kerjasama serantau dan pembangunan bersama,” kata Anwar.
Sementara itu satu sesi meja bulat dihadiri 47 syarikat terkemuka Mesir dan 17 syarikat Malaysia diadakan sempena lawatan Anwar itu, bagi meneroka peluang kerjasama perniagaan dan menjadikan Mesir sebagai hab pasaran untuk Timur Tengah dan Afrika Utara.
Sesi itu berjaya menjana potensi eksport dianggarkan berjumlah RM4.8 bilion.
“Ini mencerminkan peluang besar dalam sektor inovasi bernilai tinggi seperti mana digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030,” kata Anwar.
Comments