Lawatan Sulung Ke Brazil Jana Potensi Eksport RM6.8 Bilion - PM Anwar
20 November 2024
RIO DE JANEIRO (Brazil) : Lawatan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brazil berjaya menghasilkan potensi eksport sebanyak RM6.8 bilion (US$1.57 bilion) bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata nilai potensi eksport itu adalah hasil daripada perbincangan dengan pemimpin korporat dan industri daripada 28 syarikat terkemuka dan persatuan perniagaan di Brazil.
“Ia melibatkan 58 pemimpin industri. Dalam mesyuarat meja bulat ini, kita berjaya menghasilkan potensi eksport RM6.8 bilion (US$1.57 bilion) bagi tempoh tiga hingga lima tahun yang akan datang,” kata Anwar dalam sidang media akhir beliau pada Isnin, lapor Bernama.
Menurut Anwar antara produk yang dikenal pasti adalah perkhidmatan minyak dan gas (O&G), semikonduktor, minyak sawit, komponen aeroangkasa serta produk makanan dan minuman.
Beliau berkata lawatan itu juga berjaya meneroka peluang kolaborasi perniagaan yang akan meningkatkan lagi hubungan perdagangan antara Malaysia dan Brazil.
Syarikat Brazil yang terlibat termasuk syarikat terkemuka yang telah mengimport barangan dan perkhidmatan Malaysia bernilai RM1.16 bilion (US$267.1 juta) pada 2023.
Ia merangkumi industri minyak O&G, tenaga boleh baharu, aeroangkasa, peranti perubatan dan penjagaan kesihatan, semikonduktor, teknologi maklumat dan komunikasi, perlombongan, industri halal, dan minyak sayuran dan lemak masak.
Malaysia dan Brazil mempunyai hubungan kerjasama yang rapat dalam pelbagai bidang di peringkat dua hala dan pelbagai hala dalam isu-isu berkepentingan bersama.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brazil bagi tempoh Januari hingga September 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 19.8 peratus kepada RM14.83 bilion (US$3.2 bilion) berbanding RM12.38 bilion (US$2.74 bilion) bagi tempoh sama pada 2023.
Tahun lepas, Brazil adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Amerika Latin, selepas Mexico.
Sebanyak RM8.64 bilion (US$2.73 bilion) pelaburan dari Brazil direkodkan merangkumi sektor pembuatan makanan, produk getah, peralatan pengangkutan dan hab pengedaran global.
Syarikat Malaysia seperti PETRONAS, Yinson dan Sapura turut melabur di Brazil dalam sektor tenaga serta O&G dengan jumlah pelaburan melebihi US$15 bilion.
Comments