top of page

Lebih 1,000 Pengguna Terjejas Akibat Jalan Tamparuli-Kiulu Mendap

nabalunews

20 Oktober 2024


TAMPARULI: Lebih 1,000 pengguna jalanraya terjejas apabila sebahagian laluan di Kilometer 7.6, Jalan Tamparuli-Kiulu, mengalami mendapan semalam akibat kerosakan pada sistem saluran air bawah tanah.


Kejadian ini menyebabkan lorong kanan laluan tersebut mendap sepanjang 50 meter, sekali gus menimbulkan risiko terhadap keselamatan pengguna.


Menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR), tindakan segera diambil dengan menutup lorong kanan jalan antara Kilometer 7.6 hingga Kilometer 7.650 bermula jam 10 pagi semalam.


"Penutupan ini akan berkuatkuasa sehingga kerosakan dapat dibaiki sepenuhnya," jelas kenyataan tersebut.


Sebagai langkah keselamatan, JKR menasihatkan pengguna jalan dari kedua-dua arah supaya menggunakan laluan alternatif yang disediakan, iaitu Jalan Bungoliu-Logkou-Timbok, Jalan Kiulu-Logkou Lama, serta Jalan Kiulu-Lawa Mandau untuk menuju ke Pekan Kiulu.


Bagaimanapun, kenderaan berat dilarang melalui jalan alternatif ini bagi mengelakkan kerosakan pada saluran air yang sedia ada menjadi lebih buruk.


Pengguna juga diingatkan agar mematuhi semua arahan dan papan tanda keselamatan yang telah dipasang di kawasan terjejas bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.


JKR memberi jaminan bahawa usaha pembaikan akan dilaksanakan secepat mungkin bagi memulihkan keadaan dan mengurangkan impak kepada pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

Comments


bottom of page