top of page
  • nabalunews

Lebih 100,000 pengunjung meriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Putrajaya


31 Ogos 2024


PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Dataran Putrajaya berlangsung dengan penuh meriah apabila lebih 100,000 pengunjung berbilang kaum dan lapisan umur hadir untuk menyaksikan acara tersebut.

 

Kehadiran yang begitu ramai mencerminkan semangat patriotisme yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia.

 

Pengunjung mula membanjiri Dataran Putrajaya seawal pukul 1.00 pagi, dengan ramai yang turut mengambil bahagian dalam program Glamping Merdeka 2024, bermalam di kawasan tersebut untuk merasai suasana kemerdekaan.

 

Tema sambutan kali ini, Malaysia MADANI Jiwa Merdeka, berjaya menterjemahkan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkukuh perpaduan rakyat serta menyemarakkan semangat cintakan tanah air.

 

Acara gilang-gemilang itu melibatkan penyertaan 17,000 peserta perbarisan dan perarakan dari pelbagai agensi, termasuk 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam, serta 439 aset ketenteraan yang dipamerkan.

 

Sambutan ini bukan sahaja meriah dengan kehadiran ramai pengunjung, tetapi juga menonjolkan kekuatan dan kebanggaan negara melalui pelbagai aset dan formasi yang dipamerkan.

 

Tujuh komponen perarakan diperkenalkan dalam acara tersebut, antaranya Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI, Kontinjen Kesejahteraan dan Keselamatan, Kontinjen Kenegaraan, serta Kontinjen Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

 

Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI yang diterajui oleh Kementerian Perpaduan Negara menjadi tumpuan dengan 800 peserta yang berpakaian etnik lengkap, melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.

 

Selain itu, penyertaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, yang pertama kali mengetuai barisan perarakan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ruang udara Putrajaya pula digegarkan dengan formasi jet pejuang Sukhoi SU-30, Hornet, dan Hawk, sementara 250 anggota Tentera Malaysia (ATM) memukau penonton dengan aksi penuh tenaga di pentas perarakan.

 

Sambutan kali ini ditutup dengan persembahan 'Cuci Rasuah', yang didedikasi khas kepada usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memerangi budaya rasuah di negara ini.

Comments


bottom of page