top of page

Lebih 3,000 Penuntut IPTA Terjejas Banjir - Zambry

  • nabalunews
  • Nov 29, 2024
  • 1 min read

29 November 2024


PUTRAJAYA: 3,029 penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) terjejas akibat banjir setakat ini dengan 481 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam kampus manakala 42 lagi dipindahkan ke PPS luar.


Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pelajar yang terkesan khususnya di Pantai Timur melibatkan Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Kelantan serta politeknik.


"Saya telah arahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zaini Ujang untuk berjumpa sukarelawan institusi pendidikan tinggi (IPT) agar siap siaga (hadapi banjir)," katanya seperti dilaporkan Bernama.


Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penutup Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini pada Jumaat.


Zambry berkata bantuan KPT akan diberikan kepada pelajar yang terjejas termasuk bakul makanan, pengangkutan, hotline serta kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memastikan keselamatan mangsa.


NADMA hari ini dilaporkan telah mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat (PKOB) bagi menyelaras dan memantau operasi menyelamat dan pengurusan mangsa banjir di lapangan memandangkan jumlah mangsa telah meningkat secara mendadak di Kelantan.


Menurut NADMA, ketika ini Kelantan dan Terengganu sedang berhadapan dengan situasi banjir yang buruk dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan sangat lebat berterusan (bahaya) hingga esok berkemungkinan boleh menyebabkan banjir lebih besar.


Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir di semua peringkat dipertingkatkan ke tahap tertinggi memandangkan bencana itu dijangka lebih teruk berbanding 2014.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page