Lebih 40 pemimpin UPKO, NGO hadiri Taklimat Khas NCA
- Wartawan Nabalu News
- Feb 21, 2022
- 1 min read

21 Feb 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Lebih 40 peserta daripada para pemimpin tertinggi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghadiri Taklimat Khas mengenai Perjanjian Pemuliharaan Alam Semulajadi (NCA), di Pusat Latihan Pacos, Kg.Lomunu, di sini, hari ini.
Taklimat khas itu disampaikan oleh Aktivis Masyarakat yang juga mantan Ahli Dewan Negara Adrian Lasimbang dan dihoskan oleh Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick.
Antara pemimpin tertinggi UPKO yang hadir, Datuk Gilbert Syam, Datuk Pengiran Lalung, Datuk Basari Sarkun, Datuk Wong Thien Fook, Datuk Laurentius Nayan Ambu, Datin Juliana Jani, Fairuz Bandar, Sualim Gopog, Petrus M.Jikuni, Carl Moosom dan para pemimpin Wanita UPKO.

Turut hadir Adun Likas Tan Lee Fat dan Pengerusi Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) Dr Henry Chok @ Khen Fong.
Program itu berjalan lancar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penganjuran majlis.
Ketika berucap pada majlis itu Ewon berkata, antara kebimbangan utama beliau mengenai NCA ialah kawasan yang mempunyai konflik terutamanya tuntutan tanah adat oleh masyarakat tempatan di negeri ini.

“Kebimbangan saya selaku Adun bukan sahaja di Kadamaian yang mempunyai kawasan Hutan Simpan tetapi di kawasan-kawasan lain di Sabah.
“Apa akan terjadi jika perjanjian itu mencakupi kawasan hutan simpan yang dituntut oleh orang asal sebagai tanah adat mereka?,” katanya.
Taklimat khas NCA itu bertujuan memberi penjelasan mengenai NCA bagi membolehkan para pemimpin parti itu menerangakan isu itu kepada masyarakat akar umbi.
Isu mengenai Perjanjian NCA dijangka menjadi topik hangat perbincangan wakil rakyat pembangkang dan kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Comments