Jacquline Ebit
Lebih 6,000 penduduk di Kudat kini nikmati kemudahan internet lebih berkualiti

28 Julai 2021
Oleh Jacquline Ebit
KUDAT: Lebih 6,000 penduduk di beberapa buah kampung di Kudat kini menikmati perkhidmatan jalur lebar yang lebih pantas dan berkualiti apabila sembilan buah menara komunikasi baharu mula beroperasi sepenuhnya.
Daripada sembilan menara itu, lapan terletak di Kg. Kubatang, Kg. Lodung, Kg. Indarason Laut, Kg. Rondomon, Kg. Membatu, Kg. Inukiran, Kg. Panikuan, Kg. Toporoi dan sebuah menara lagi terletak di Kg. Kabatasan Pitas.
Menara komunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) itu dibina di bawah Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) beroperasi sepenuhnya sejak 15 Jun lalu.
Menurut Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pembinaan Menara tersebut dijangka dapat memanfaatkan seramai 6,520 orang penduduk di Bahagian Kudat sekaligus mentransformasikan kehidupan penduduk setempat dalam mengharungi era digital yang semakin pesat.
Katanya lagi, kerja-kerja pembinaan tapak menara komunikasi baharu bagi 13 lagi menara komunikasi di Bahagian Kudat sedang giat dilaksanakan.
“Pembinaan tapak menara tersebut dijangka siap secara berperingkat menjelang Disember 2021.
“Dengan penambahan menara-menara komunikasi di Bahagian Kudat, kesalingubungan internet penduduk di daerah Kudat akan bertambah baik dan ini akan memudahkan penduduk setempat melaksanakan pelbagai urusan harian seperti pembelajaran dalam talian, bekerja dari rumah (WFH) dan urusan perhubungan,” kata kenyataan itu.