Lelaki Australia dipenjara 5 tahun kerana cabul remaja perempuan di Tawau
- nabalunews
- Sep 26, 2024
- 1 min read

26 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Seorang lelaki warga Australia dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Tawau selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, Mei tahun lalu.
Jack Kwong, 75, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Rosli Ahmad selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan melampaui munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Tertuduh yang memperoleh kerakyatan Australia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di sebuah rumah di Taman Pick Yard di sini, di antara jam 7.20 pagi hingga 8 pagi pada 20 Mei 2023.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman seperti dipohon peguambela yang mewakili tertuduh, Mark Rosaidey Mohd Amin.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Mohd Suhaimi Suriana.
Berdasarkan fakta kes, sehari sebelum kejadian itu, tertuduh menghubungi mangsa melalui telefon untuk membawanya ke pasar ikan pada hari kejadian.
Tertuduh mengambil mangsa di rumahnya untuk membeli makanan laut, namun sebaliknya dia membawa remaja tersebut ke rumahnya (lokasi kejadian) lalu mencabulnya.
Tertuduh merupakan rakan kepada mak cik mangsa dan selalu membantu keluarganya membeli barangan rumah di kedai.
Mangsa menceritakan insiden itu kepada ibunya dan membuat laporan polis pada hari yang sama.


















Comments