Lelaki Cedera Terjatuh Semasa Aktiviti Paragliding di Ranau
- nabalunews
- Jul 21, 2025
- 1 min read

21 Julai 2025
RANAU: Seorang lelaki berusia 30 tahun cedera selepas terjatuh semasa melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) di Ranau Paragliding Park, Jalan Kompleks Sukan di sini petang tadi.
Menurut Komander Operasi, PBK I Becket Gumat, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 12.59 tengah hari dan jentera bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
“Komander Operasi melaporkan terdapat seorang mangsa cedera akibat terjatuh semasa menjalankan aktiviti luncur udara (Paragliding) di kawasan lokasi mula terbang,” katanya.
Beliau berkata, mangsa dilaporkan tersasar dan terjatuh di kawasan belukar namun berjaya keluar dengan sendirinya sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Mangsa diberi rawatan awal oleh Pegawai Perubatan KKM di tempat kejadian dan seterusnya dibawa ke hospital menaiki ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” tambahnya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.31 petang dan melibatkan tujuh anggota BBP Ranau dengan kekuatan dua jentera iaitu CFRT dan kenderaan jenis Vigo. Turut membantu dalam operasi ialah pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).















Comments